KUALA LUMPUR 21 Nov - Jumlah jualan tahunan Sime Darby Property Bhd dijangka melepasi sasaran RM3.5 bilion susulan kumpulan itu mencatat keputusan kewangan tertinggi bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24).
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, kumpulan itu melancarkan produk berjumlah RM2.9 bilion tahun sehingga kini (YTD) dalam nilai pembangunan kasar (GDV), mewakili 75% daripada sasaran pelancaran tahun penuh bernilai RM3.9 bilion.
"Kami memahami purata kadar pengambilan masih menggalakkan pada kira-kira 76% setakat 31 Oktober 2024.
"Projek kediaman utama termasuk pembangunan berorientasikan transit, Elmina Green 7, Hype Residences di SJ7 dan The Ophera di KLGCC Resort, di samping pembangunan di perbandaran lain.
"Pra jualan yang dicapai YTD meningkat 25% tahun ke tahun (YoY) kepada RM3.2 bilion, atau kira-kira 91% daripada sasaran jualan tahun kewangan 2024 (FY24)," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Keuntungan bersih 9MFY24 Sime Darby Property sebanyak RM413.8 juta membentuk kira-kira 84% daripada anggaran setahun dan konsensus PublicInvest.
Katanya, prestasi tersebut didorong oleh momentum jualan kukuh, peningkatan kemajuan tapak dalam segmen pembangunan hartanah dan pendapatan yang semakin meningkat sumbangan daripada pelaburan dan pengurusan aset.
"Hasil pra jualan kumpulan bagi tempoh itu meningkat kepada RM3.2 bilion, atau sudah pada 91% daripada sasaran jualan FY24 sebanyak RM3.5 bilion.
"Kami menjangkakan pusat datanya berpotensi menambah RM100 juta kepada pendapatan kumpulan berdasarkan pengaturan sewa tiga bersihnya selepas siap pada FY26," katanya.
Sementara itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham Sime Darby Property dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.20.- DagangNews.com