Kadar pengangguran di Malaysia turun ke paras 3.2% pada Ogos 2024 — DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran di Malaysia turun ke paras 3.2% pada Ogos 2024 — DOSM

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kadar pengangguran Ogos menurun ke paras 3.2%, mencatatkan 558,500 orang menganggur, menurut Perangkaan Tenaga Buruh bagi Ogos yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Kadar itu turun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.2%, selepas sembilan bulan mencatatkan kadar 3.3%.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh Malaysia pada Ogos terus berkembang, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dengan peningkatan berterusan dalam bilangan orang yang bekerja, manakala bilangan orang yang menganggur terus menurun, serta kadar pengangguran .

 

“Sehubungan itu, bilangan tenaga buruh pada Ogos 2024 bertambah kukuh, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada merekodkan 17.22 juta orang (Julai 2024: 17.20 juta orang).

 

“Jumlah pekerja menunjukkan pertumbuhan 0.2% kepada 16.66 juta orang pada Ogos 2024, meningkat daripada 16.63 juta orang pada Julai 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebaliknya, beliau berkata bilangan penganggur berkurangan kepada 558,500, dengan penurunan sebanyak 0.9% (Julai 2024: 563,700 orang).

 

 

parafrasa

 

 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 10.4%, dengan 303,000 belia menganggur (Julai 2024: 10.5%; 304,500 orang).

 

Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun juga turun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 6.4%, mencatatkan 428,500 belia menganggur, berbanding bulan sebelumnya (Julai 2024: 6.5%; 433,100 orang).

 

Mengenai situasi pekerjaan, beliau menambah bahawa kebanyakan orang yang bekerja didominasi oleh kategori pekerja, merangkumi 75.0%.

 

“Pada Ogos 2024, kategori ini menunjukkan peningkatan 0.2% kepada merekodkan 12.50 juta orang, berbanding 12.48 juta orang pada Julai 2024. Sementara itu, kategori pekerja akaun sendiri kekal pada aliran positif dan meningkat sebanyak 0.3% kepada 3.08 juta orang (Julai 2024: 3.07 juta orang),” tambahnya. - DagangNews.com