Yayasan Z Zurich dan UNICEF perluas perkongsian global kesihatan mental dan kesejahteraan remaja | DagangNews Skip to main content

Yayasan Z Zurich dan UNICEF perluas perkongsian global kesihatan mental dan kesejahteraan remaja

Menerusi program Thriving Together, Yayasan Z Zurich dan UNICEF mahu memanfaatkan kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak serta remaja kepada 11 juta orang dalam tempoh tiga tahun akan datang. Gambar/UNICEF
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR/ZURICH 10 Okt - Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini, Yayasan Z Zurich dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengumumkan pembaharuan perkongsian global mereka yang masuk fasa kedua, Thriving Together, untuk meningkatkan usaha mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan remaja, yang bakal memanfaatkan 11 juta orang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Menggunakan pendekatan perubahan sistem di peringkat kerajaan, komuniti dan individu, perkongsian itu akan terus meningkatkan kapasiti negara dalam menangani kesihatan mental dan kesejahteraan remaja, sambil memberi tumpuan kepada pencegahan gangguan mental.

 

Intipati inisiatif tersebut adalah set alat program yang dibangunkan secara bersama dan diuji di lapangan, menawarkan campur tangan inovatif secara langsung serta digital. 

 

Remaja dan penjaga akan diberikan maklumat, kemahiran dan strategi berguna untuk menjaga kesejahteraan mental mereka sendiri dan antara satu sama lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zurich Malaysia, Junior Cho, berkata, kesihatan mental adalah komponen penting dalam kesejahteraan keseluruhan, terutamanya untuk belia yang menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam dunia yang berubah pantas. 

 

"Kami teruja kerana inisiatif ini kini diperluas ke Malaysia, memberikan akses kepada sumber kesihatan mental yang penting kepada remaja dan penjaga mereka. 

 

"Perkongsian ini mencerminkan dedikasi kami untuk menjaga apa yang benar-benar penting dengan membantu mewujudkan masa depan yang lebih sihat secara mental untuk generasi muda di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell pula menekankan masalah kesihatan mental yang telah lama berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun sering diabaikan.

 

"Kami tahu pelaburan dalam kesihatan mental dapat memberikan manfaat besar untuk kanak-kanak, remaja, keluarga dan seluruh masyarakat. Kami berterima kasih atas perkongsian berterusan dengan Yayasan Z Zurich untuk menyokong masa depan yang lebih sihat melalui peningkatan kesihatan mental dan kesejahteraan untuk semua," ujarnya.

 

Dianggarkan satu daripada tujuh remaja berumur antara 10-19 tahun hidup dengan keadaan kesihatan mental yang boleh didiagnosis dan 50% gangguan kesihatan mental berkembang sebelum usia 14 tahun. 

 

Ketua Yayasan Z Zurich, Gregory Renand menyifatkan, program Thriving Together fasa kedua itu diteruskan berdasarkan kejayaan fasa pertama yang menunjukkan kesan mendalam daripada perkongsian strategik berkenaan.

 

"Dengan pelancaran fasa kedua, kami bersedia untuk mempercepatkan kesan program ini pada skala yang belum pernah terjadi, memastikan kesejahteraan mental yang lestari untuk lebih ramai remaja di seluruh dunia," kata beliau.

 

Perkongsian tersebut dibina berdasarkan fasa awal yang berjaya selama tiga tahun melibatkan lebih 900,000 remaja dan penjaga untuk menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan mereka dengan lebih baik. 

 

Untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat, perkongsian itu kini diperluas dari tujuh kepada 15 negara iaitu Argentina, Bangladesh, Bhutan, Colombia, Ecuador, Mesir, India, Indonesia, Jordan, Malaysia, Maldives, Mexico, Nepal, Pakistan dan Vietnam. 

 

Impak perkongsian berkenaan sedang diperluas melalui pengukuhan tindakan dasar dan program di platform digital, sekolah dan komuniti untuk mencapai belia di seluruh dunia, termasuk kumpulan yang terdedah seperti komuniti pendatang dan pelarian.

 

Matlamatnya adalah untuk menyokong sekurang-kurangnya 11 juta orang menjelang 2027. - DagangNews.com