KUALA LUMPUR 11 Okt - Selepas menyederhana kepada 3.4% tahun lepas daripada 3.8% pada 2022, Maybank Invesment Bank (Maybank IB) menjangkakan kadar pengangguran berada pada paras 3.3% pada tahun ini.
Katanya, apabila pasaran pekerjaan menjadi lebih stabil daripada perspektif kadar pengangguran, perkembangan utama lebih kepada pendapatan pekerja kerana segmen tenaga kerja tertentu akan melihat gaji yang lebih tinggi.
"Sebagai contoh, purata kenaikan gaji perkhidmatan awam sebanyak 15%; prospek kenaikan gaji minimum pada 2025 berbanding RM1,500 pada masa ini yang ditetapkan pada 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pasaran buruh Malaysia pada Ogos 2024 terus berkembang, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dengan peningkatan berterusan dalam bilangan orang yang bekerja, manakala bilangan orang yang menganggur terus menurun, serta kadar pengangguran .
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran di Malaysia turun ke paras 3.2% pada Ogos 2024 — DOSM
Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2024 bertambah kukuh, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada merekodkan 17.22 juta orang (Julai 2024: 17.20 juta orang).
Jumlah pekerja menunjukkan pertumbuhan 0.2% kepada 16.66 juta orang pada Ogos 2024, meningkat daripada 16.63 juta orang pada Julai 2024.
Maybank IB berkata, pengangguran belia menyusut kepada 10.4% pada Ogos 2024 (Julai 2024: 10.5%), bertambah baik selepas tersekat lebih awal dalam julat 10.6% hingga 10.8% pada Ogos 2023 - Apr 2024, walaupun masih di atas paras terendah pra pandemik 9.9% pada Disember 2019.
Segmen penting pekerjaan/pekerja tidak formal dalam ekonomi iaitu “Pekerja Akaun Sendiri” (iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil, bekerja sendiri dan pekerja gig) telah meningkat secara berterusan sejak Jan 2021 (2.39 juta) dan mencecah paras tertinggi baharu 3.08 juta pada Ogos 2024 (Julai 2024: 3.07 juta) kerana pertumbuhannya (Ogos 2024: +3.7%) mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga (Jul 2024: +1.9%).
"Namun begitu, trend berterusan kadar pengangguran bulanan yang rendah dan stabil serta penurunan bilangan penganggur menunjukkan pekerja yang diberhentikan dapat mencari pekerjaan baharu atau telah meninggalkan tenaga buruh sama sekali dengan tidak berusaha secara aktif untuk diambil bekerja semula," katanya. - DagangNews.com