Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia dapati 54% rakyat Malaysia tidak bersedia hadapi risiko perubahan iklim | DagangNews Skip to main content

Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia dapati 54% rakyat Malaysia tidak bersedia hadapi risiko perubahan iklim

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Okt - Kajian Daya Tahan Iklim oleh Zurich Malaysia mendapati, sebanyak 86% rakyat Malaysia bimbang mengenai kesan perubahan iklim, dengan golongan yang berusia 18-29 tahun menunjukkan tahap kebimbangan tertinggi sehingga 90%. 

 

Kekangan kewangan merupakan penghalang utama kesiapsiagaan bagi 38% responden, dengan 54% merasa tidak bersedia menghadapi bencana iklim seperti banjir, gelombang haba dan tanah runtuh.

 

Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia dilancarkan sebagai sokongan kepada Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024, yang bertemakan Malaysia Madani, Siaga Bencana. 

 

Kajian itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesiapsiagaan bencana melalui kerjasama antara komuniti tempatan dan kerajaan.

 

zurich

 

Ketua Negara/Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, Kajian Daya Tahan Iklim syarikatnya bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai persepsi, kesiapsiagaan dan pengalaman orang ramai mengenai kesan perubahan iklim. 

 

"Dengan memahami persepsi komuniti terhadap risiko iklim dan tahap kesiapsiagaan mereka, kami dapat merangka strategi yang sesuai bagi mengukuhkan daya tahan iklim, meningkatkan usaha adaptasi tempatan dan menggalakkan amalan lestari di kawasan bandar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut kajian tersebut, secara keseluruhan, sejumlah 53% rakyat Malaysia sangat bimbang tentang kesan perubahan iklim terhadap generasi akan datang. 

 

Bagaimanapun, tahap kebimbangan yang tinggi itu menurun dengan peningkatan usia, daripada 56% dalam kumpulan usia 18-29 tahun kepada 25% dalam kumpulan usia 65 tahun ke atas. 

 

Ini menunjukkan tumpuan yang lebih besar terhadap pendidikan dan penglibatan dalam isu perubahan iklim perlu diberi kepada rakyat Malaysia yang lebih muda, yang lebih berkemungkinan menghadapi kesan jangka panjang dari peningkatan bencana iklim.

 

Banjir (75%), gelombang haba (74%), dan tanah runtuh (70%) terus menjadi kebimbangan utama, dengan kebimbangan yang semakin meningkat (67%) terhadap risiko infrastruktur bandar seperti  pokok tumbang dan lubang benam ekoran beberapa insiden baru-baru ini di pusat bandar Kuala Lumpur. 

 

Corak yang sama turut didapati mengikut kumpulan usia, dengan keseluruhan tahap kebimbangan semakin berkurang mengikut peningkatan usia.

 

Dalam tempoh 12 bulan lalu, hampir satu pertiga responden (32%) melaporkan terjejas secara langsung oleh bencana iklim yang buruk, dengan 38% menyatakan bahawa keluarga mereka turut menjadi mangsa. 

 

Di peringkat komuniti, sebanyak 58% melaporkan, komuniti setempat mereka terjejas teruk akibat bencana iklim yang buruk, sekali gus menunjukkan wujud kebimbangan yang lebih meluas mengenai bencana iklim yang bukan sahaja dialami oleh individu.

 

Kajian itu mendapati, wujud korelasi songsang antara tahap pendapatan isi rumah bulanan dan kesiapsiagaan.

 

Sebanyak 49% responden dari kumpulan B40 melaporkan mempunyai peruntukan, simpanan, pelan pemindahan dan sokongan kecemasan yang mencukupi bagi isi rumah mereka untuk menghadapi kemungkinan bencana iklim. 

 

Bagaimanapun, angka tersebut menurun kepada 44% bagi isi rumah M40 dan 39% bagi isi rumah T20, memperlihatkan bahawa isi rumah berpendapatan tinggi mungkin mempunyai jangkaan yang lebih tinggi untuk kesiapsiagaan, justeru memberi persepsi bahawa mereka kurang bersedia.

 

Kajian berkenaan turut menunjukkan sokongan dan penerimaan tinggi terhadap amalan lestari, yang mengambil inisiatif ke arah gaya hidup lebih hijau. 

 

Mereka mengutamakan pengurusan sisa lestari (63%), membeli produk mesra alam (60%) dan mengurangkan penggunaan tenaga (60%). 

 

Trend tersebut mencadangkan penekanan terhadap tindakan bermakna yang boleh diintegrasikan dengan mudah ke dalam kehidupan harian. - DagangNews.com