Karex diramal terima tempahan bernilai tinggi didorong reputasi industri serta kepelbagaian produk - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Karex diramal terima tempahan bernilai tinggi didorong reputasi industri serta kepelbagaian produk - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Nov - Karex Bhd diramal menerima tempahan bernilai tinggi untuk kondom dan pelincir peribadi didorong reputasi industrinya yang kukuh selain kepelbagaian rangkaian produk, kata Kenanga Research.

 

Katanya, kumpulan itu sedang mengembangkan pengeluaran kondom sintetiknya dengan penghantaran pertama di Eropah sudah dilaksanakan dan pada masa sama mereka merancang untuk meningkatkan kapasiti dengan ketara. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkongsian strategik dengan pelanggan OEM dan kemasukan ke pasaran berpotensi tinggi meletakkan kumpulan untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk kondom sintetik, yang menawarkan margin yang besar.

 

"Walaupun segmen ini pada masa ini menyumbang secara sederhana kepada pengeluaran keseluruhan, margin tinggi dan prospek pertumbuhannya memberi petanda yang baik untuk pendapatan masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, kenaikan gaji minimum di Malaysia daripada RM1,500 kepada RM1,700 akan meningkatkan perbelanjaan kos tenaga pekerja kumpulan sebanyak RM1 juta memandangkan Karex menggaji kira-kira 1,500 pekerja di negara ini.

 

Katanya, disebalik cabaran itu, kupulan tidak menjangkakan sebarang peruntukan rosot nilai lanjut berkaitan perniagaan sarung tangan pada suku akan datang dan sedang meneroka strategi pengurangan kos, termasuk kecekapan operasi.

 

"Kos pengeluaran di kilang Hat Yai dianggap lebih rendah daripada kilangnya di Malaysia kerana cukai yang lebih rendah dan tanah yang lebih murah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Karex kerana kedudukan pasaran utamanya dan capaian global dalam industry kondom yang berkembang pesat selain R&D serta inovasi produknya yang kukuh.

 

Selain itu, pematuhannya kepada piawaian dan pensijilan antarabangsa, peralihan strategiknya dalam meningkatkan rantaian nilai yang lebih tinggi, dan pemulihan pasaran seperti China serta keutamaan yang semakin meningkat untuk produk kondom inovatif berkualiti tinggi. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com