KDN buka tender bekalkan 7 kapal terbang, 5 helikopter ringan kepada PDRM | DagangNews Skip to main content

KDN buka tender bekalkan 7 kapal terbang, 5 helikopter ringan kepada PDRM

Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 12 Nov - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal mendapat aset baharu berikutan tawaran tender bagi membekalkan 7 kapal terbang pengangkut dan 5 buah helikopter ringan.

 

Aset-aset ini untuk kegunaan Pasukan Gerakan Unit Udara (PGU) PDRM bagi menggantikan pesawat sedia ada.

 

Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuka 2 tender berkenaan secara berasingan kepada syarikat yang layak.

 

 

Tender untuk kapal terbang pengangkut enjin berkembar itu bagi menggantikan pesawat sedia ada iaitu Cessna Caravan 208 dan Pilatus Turbo Porter PC-6 yang digunakan PGU PDRM.

 

Pesawat
Kapal terbang kepak kaku merupakan aset penting PDRM dalam menyokong pergerakan udara pasukan tersebut.

 

Pesawat

 

Kedua-dua pesawat kepak kaku ini memainkan peranan besar dalam operasi PDRM kerana PGU bertanggungjawab memberikan sokongan udara kepada pasukan tersebut.

 

Selain melakukan rondaan dan pengawasan ruang udara, pesawat-pesawat kepak kaku ini diguna untuk membantu operasi seperti 69 Komando, Unit Tindakhas dan Pasukan Gerakan Am.

 

Ini termasuklah dalam latihan payung terjun selain menghantar bekalan kepada pasukan di pedalaman.

 

Pesawat Cessna Caravan 208 misalnya telah digunakan lebih 30 tahun dan menjadi tunjang utama bagi kegunaan pelbagai misi.

 

Difahamkan pula, beberapa buah pesawat Pilatus Turbo Porter PC-6 telah dilucutkan perkhidmatan, bermakna jumlah yang dimiliki berkurangan.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

PGU PDRM mahu pesawat baharu ini mempunyai ciri-ciri dan keupayaan yang sama seperti dua pesawat kepak kaku sedia ada.

 

Berdasarkan spesifikasi, pesawat pengganti yang dikehendaki adalah seperti Canadian DHC-6 300 Twin Otter, Cessna Sky Courier dan N219 buatan PT Dirgantara Indonesia (PTDI).

 

Walaupun kos pesawat tidak dinyatakan tetapi dipercayai kapal terbang kepak kaku jenis ini berharga antara RM24 juta hingga RM26 juta sebuah bergantung kepada spesifikasi penuh.

 

Spesifikasi pesawat yang ditetapkan oleh KDN pula mestilah boleh digunakan sebagai pesawat penumpang, kargo, bantuan perubatan dan membawa anggota payung terjun. 

 

Pesawat
Pesawat DHC-6 300 Twin Otter.

 

Pesawat
Pesawat N219.

 

Pesawat
Cessna Sky Courier.

 

Bermakna ruang dalam pesawat boleh diubah suai pada waktu singkat bagi melaksanakan tugas-tugas yang dinyatakan.

 

Pintu kargo dan penumpang pesawat pula mestilah mempunyai saiz bukaan yang mencukupi untuk memuatkan pengusung serta mempunyai pintu bagi melakukan penerjunan.

 

Pesawat juga hendaklah boleh berlepas dan mendarat di landasan yang tidak berturap dan mampu membawa sehingga 15 penumpang.

 

Jarak penerbangan pesawat pula adalah sejauh 550 batu nautika dengan minimum 2 juruterbang, seorang pemerhati dan 13 penumpang dengan muatan sebanyak 150 kilogram.

 

Bagi helikopter ringan, dipercayai ciri-ciri adalah pesawat enjin berkembar untuk menggantikan helikopter AS355 Ecureuil sedia ada.

 

 

polis
Helikopter AS355 Ecuiril PDRM bakal diganti dengan pesawat baharu.

 

 

Helikopter ini juga telah dioperasikan sejak 30 tahun lalu.

 

AS355 Ecureuil merupakan helikopter ringan yang lasak, serba boleh dan menjadi pilihan banyak pasukan keselamatan termasuk tentera di dunia.

 

Berdasarkan pengalaman PGU PDRM, dipercayai pasukan ini cenderung memilih helikopter ringan yang mempunyai persamaan dengan Ecuiril terutamanya yang mempunyai ‘landing skid’ dan bukannya beroda.

 

Helikopter
Helikopter Airbus H135.

 

Helikopter
Leonardo AW109 Trekker Light.

 

Antara pilihan yang ada di pasaran seperti helikopter Airbus H135, Leonardo AW109 Trekker Light dan Bell 412 EPI.

 

Mengikut tender tersebut menyatakan, kontraktor yang berjaya hendaklah membekalkan helikopter-helikopter ini dalam tempoh 2 tahun selepas kontrak dimeterai. - DagangNews.com