Kenanga Research jangka kerajaan sedia peruntukan RM94.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Bajet 2025 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka kerajaan sedia peruntukan RM94.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Bajet 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Kenanga Research menjangkakan kerajaan akan menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM94.5 billion dalam Bajet 2025 berbanding RM88.5 bilion pada 2024 bagi meningkatkan sektor infrastruktur.

 

Katanya, sektor pengangkutan diramal menjadi penerima terbesar dalam perbelanjaan pembangunan, dipacu pemulihan semula projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

 

Perbelanjaan pembangunan lain mungkin ditumpu kepada peningkatan daya tahan pertanian, pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan mampu milik, serta keselamatan negara di tengah-tengah ketegangan serantau.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi sebanyak RM306.5 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2025 berbanding RM302.5 bilion dalam unjuran 2024, meskipun jangkaan penghapusan subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua 2025.

 

Katanya, hasil kerajaan diunjurkan meningkat semula sebanyak 4.3% kepada RM316.5 bilion pada 2025 berbanding unjuran -3.6% (RM303.5 bilion) pada 2024, atau dibandingkan dengan sasaran 2024 Kementerian Kewangan sebanyak RM307.6 bilion.

 

"Peningkatan ini dijangka didorong oleh langkah meningkatkan hasil dan pengembangan berterusan aktiviti ekonomi domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dari segi ekonomi, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.8% berbanding unjuran 5% bagi 2024 berikutan peningkatan risiko luaran.

 

Mereka juga mengunjurkan defisit fiskal sebanyak 4% daripada KDNK pada 2025 berbanding unjuran 4.5% pada 2024, memandangkan jangkaan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan tahun depan mungkin membantutkan usaha mengurangkan perbelanjaan dan pembaziran yang tidak perlu.

 

“Kami juga menjangka kerajaan memperuntukkan RM5 bilion hingga RM10 bilion dalam dana luar jangka sebagai penampan, yang berpotensi sebagai rangsangan sekiranya berlaku kemelesetan global.

 

"Kami mengesyorkan agar kerajaan mengutamakan dasar propertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada projek bernilai tinggi yang mempunyai kesan pengganda kukuh untuk merangsang ekonomi dalam persekitaran yang mencabar ini," katanya.

 

Mengenai kutipan cukai, Kenanga Research berkata, walaupun cukai penggunaan meluas kemungkinan besar tidak dilaksanakan dalam masa terdekat, kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada langkah alternatif seperti melaksanakan sepenuhnya einvois dan memperkenalkan Cukai Minimum Global.

 

Firma penyelidikan itu juga berharap kerajaan mengutamakan kutipan cukai pendapatan dengan memudahkan sistem cukai dan menangani pengelakan dan pengecualian cukai untuk meningkatkan hasil.- DagangNews.com