Keputusan kewangan MN Holdings pada FY25 dijangka lebih baik didorong jumlah buku pesanan kukuh, kata Phillip Capital | DagangNews Skip to main content

Keputusan kewangan MN Holdings pada FY25 dijangka lebih baik didorong jumlah buku pesanan kukuh, kata Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - MN Holdings Bhd dijangka mencatatkan keputusan kewangan lebih baik pada FY25 mengatasi rekod FY24 didorong jumlah buku pesanan yang lebih kukuh, kata Phillip Capital.

 

Katanya, pada November 2024, buku tender kumpulan itu mencecah RM1.2 billion, peningkatan 20% dari suku tahun ke suku tahun. 

 

"Angka ini tidak termasuk pakej kerja pusat data (DC) bernilai kira-kira RM300 juta, yang akan dilancarkan antara Januari hingga Jun 2025.

 

"Kumpulan itu, yang pendapatan teras suku pertamanya lebih baik daripada jangkaan membentuk 28% daripada ramalan konsensus, mempunyai RM601 juta terkumpul dalam buku pesanannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Phillip Capital berkata, kumpulan itu dijangka terus mendapat manfaat daripada keperluan infrastruktur kuasa Malaysia yang semakin berkembang, termasuk inisiatif berkaitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan projek Sarawak Energy, yang masing-masing membentuk 43% dan 31% daripada buku tendernya. 

 

Katanya, kumpulan itu juga mempelbagaikan portfolionya, dengan tender dalam sektor solar (9%) dan pembetungan air (3%).

 

Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham.

 

Bagi 1QFY25, MN Holdings mencatatkan keuntungan bersih meningkat 70.6% ke tahun dan 42.9% pada suku tahun kepada RM7.1 juta atau 1.49 sen sesaham, apabila hasil melonjak 87% tahun ke tahun kepada RM103.1 juta.

 

Kumpulan itu, yang pasaran terasnya ialah industri kuasa, gas dan pembetungan, mengendalikan segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah yang menyumbang 52.4% daripada pendapatannya pada suku tersebut, dan segmen kejuruteraan pencawang (47.6%). - DagangNews.com