KUALA LUMPUR 10 Dis - Kerajaan akan membatalkan komitmen kontrak dengan beberapa syarikat pengeluar ubat yang memonopoli sektor kesihatan negara bagi menangani kos perubatan yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga diarah mendapatkan ubat generik yang lebih murah dan berpatutan dari negara-negara lain.
Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira tiada kawalan terhadap harga ubat-ubatan pada masa ini selain wujud monopoli selama puluhan tahun.
"Kami akan batalkan komitmen kontrak melibatkan satu atau dua syarikat dan minta KKM ke beberapa negara untuk mendapatkan ubat generik.
"Ubat generik ini lebih terkenal di Brazil, India dan China. Kita juga tidak semestinya terikat dengan ubat dari Amerika Syarikat atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini, seperti laporan Free Malaysia Today.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung langkah kerajaan mengatasi inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6% tahun 2023, iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6%.
Sementara itu, Anwar berkata, penyelarasan sedang dilakukan KKM bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan kenaikan premium insurans perubatan munasabah dan tidak membebankan pengguna.
“Kami sedang meneliti dan akan mengeluarkan garis panduan yang agak tegas supaya syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) mengambil kira beberapa hal.
"Kenaikan ini adalah bersandarkan nilai ambang yang lebih rendah di Malaysia dan kos perubahan dan perkhidmatan yang tinggi. Itu penjelasan daripada syarikat insurans,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Kewangan memaklumkan sedang berunding dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40% hingga 70%.
Pada 28 Nov lalu, BNM mengarahkan ITO menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful dan insurans. - DagangNews.com