Kerajaan akan belanja RM16.5 bilion sewa 28 buah helikopter bagi ATM, agensi keselamatan lain | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan belanja RM16.5 bilion sewa 28 buah helikopter bagi ATM, agensi keselamatan lain

Helikopter Leonardo AW149 menjadi pilihan TUDM bagi menggantikan Nuri.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 Nov - Kerajaan akan menyewa 28 buah helikopter bagi kegunaan agensi-agensi keselamatan negara untuk memenuhi keperluan menjalankan operasi udara harian dan misi misi tertentu.

 

Ini termasuklah untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Perkara tersebut dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7435894584695213320.jpg?itok=KTBRoZFB","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7435894584695213320?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7390560066821703185","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

Memetik laporan laman pertahanan Defence Security Asia, Mohamed Khaled berkata, perolehan secara pajakan helikopter-helikopter itu melibatkan kontrak bernilai RM16.5 billion untuk tempoh 15 tahun.

 

Helikopter
Helikopter AW139 yang disewa TUDM membantu menyokong pelbagai operasi selain kegunaan logistik.

 

Perolehan aset-aset helikopter ini dibuat dan dilaksanakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jenis helikopter serta syarikat yang terlibat.

 

Menerusi kontrak sewaan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima 12 buah helikopter manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2.

 

Polis Diraja Malaysia pula menerima 7, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (4), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (2) dan JPM (1).

 

Ini juga merupakan kali pertama perolehan aset-aset helikopter dalam jumlah besar dibuat secara sewaan bagi kegunaan pelbagai pasukan keselamatan.

 

Helikopter
Helikopter AW149.

 

Helikopter

 

Nilai sewaan sebanyak RM16.5 bilion juga merupakan peruntukan yang besar bagi satu-satu perolehan aset.

 

Sebagai perbandingan, kos projek kapal tempur pesisir (LCS) yang sedang dibina ketika ini adalah RM11.2 bilion.

 

Difahamkan, keputusan menyewa helikopter-helikopter ini bagai memenuhi keperluan agensi pengguna selain mendapatkan aset dalam waktu segera.

 

Kos sewaan ini juga dikatakan wajar kerana merangkumi perlindungan insuran, penyelenggaraan, alat ganti dan simpanan, kursus dan latihan serta penyelenggaraan luar pangkalan.

 

Melalui kaedah sewaan itu, isu utama yang akan diatasi adalah ketersediaan dan kesiapsiagaan pesawat helikopter sedia ada.

 

Helikopter
Mungkinkah Tentera Darat bakal menggunakan helikopter AW149 sama seperti TUDM?

 

Mengikut kontrak itu juga, kerajaan diberikan pilihan untuk membeli semula helikopter-helikopter berkenaan pada harga ditawarkan hanya RM1.

 

Harga ini lebih rendah berbanding jangkaan susut nilai pesawat selepas 15 tahun yang dianggarkan antara RM30 juta hingga RM50 juta sebuah.

 

Bulan lalu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memberitahu bahawa TUDM akan menerima helikopter Leonardo AW149 secara sewaan bagi menggantikan Nuri.

 

Katanya, helikopter mematuhi spesifikasi yang digariskan ATM termasuk bagi kegunaan dalam operasi mencari dan menyelamat tempur (CSAR).

 

Helikopter
Pengoperasian helikopter AW139 melegakan TUDM yang berdepan dengan isu kekurangan pesawat selepas ketiadaan Nuri.

 

Helikopter

 

Pada masa sama Kementerian Pertahanan juga sedang mendapatkan helikopter pengganti susulan pembatalan kontrak sewaan pesawat Sikorsky UH-60+ Black Hawk.

 

Kontrak sewaan 4 helikopter Black Hawk sebelumnya diberi kerajaan kepada syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

 

Memandangkan Tentera Darat tiada dalam senarai pengguna 28 buah helikopter yang akan disewa kerajaan, jadi timbul persoalan adakah jumlah tersebut akan ditambah atau akan dibuat sewaan lain. - DagangNews.com

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/LzjSVvNFNxU.jpg?itok=ZgA_-YgH","video_url":"https://youtu.be/LzjSVvNFNxU","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}