Keuntungan bersih PGF Capital pada 2QFY25 diunjur berada antara RM6 juta hingga RM8 juta, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih PGF Capital pada 2QFY25 diunjur berada antara RM6 juta hingga RM8 juta, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - TA Securities mengunjurkan keuntungan bersih PGF Capital Bhd pada 2QFY25 berada dalam julat antara RM6 hingga RM8 juta menjadikan keuntungan terkumpulan kumpulan pada 1HFY25 kepada RM12.4 juta hingga RM14.4 juta atau 34% daripada anggaran setahun penuh. 

 

Katanya, pemulihan ketara bagi 2QFY25 berbanding kerugian teras sebanyak RM1.1 juta pada 2QFY24 disokong pemulihan hasil sebanyak 30%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia disokong permintaan kukuh daripada kontraktor di Australia serta normalisasi margin kerana kilang itu telah menyambung semula operasi penuh selepas penyelenggaraan bagi salah satu barisan pengeluarannya pada 2QFY24. 

 

"Melihat ke hadapan, permintaan untuk bahan binaan dijangka kekal kukuh di Australia kerana kerajaan telah berusaha untuk meningkatkan bekalan perumahan dalam usaha menangani krisis kekurangan, yang menyebabkan harga hartanah melonjak.

 

"PGF juga telah memulakan pelan pembesaran RM245 juta di kilang baharunya di Kulim bagi menggandakan kapasitinya untuk memenuhi permintaan yang kembali meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam pertemuan demgam pihak pengurusan, firma itu memahami bahawa kos pengeluaran produk penebat bulu kaca di kilang baharu di Kulim East  tidak semestinya lebih tinggi daripada kilang sedia ada semasa fasa awal kerana insentif cukai berikutnya mungkin mencukupi untuk mengimbangi kos permulaan.

 

Katanya, menurut pihak pengurusan, PGF telah mengemukakan permohonannya untuk insentif cukai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

 

"Sekiranya berjaya, kumpulan itu akan menikmati 100% pengecualian cukai pendapatan sehingga 15 tahun; 100% elaun cukai pelaburan sehingga 10 tahun; pengecualian duti import; dan pengurangan 50% ke atas pemindahan atau pajakan tanah untuk membina kilang pembuatan di Kedah.

 

"Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga akan membantu mengurangkan perbelanjaan modal untuk kilang baharu Kulim. Pembelian jentera, yang kebanyakannya akan dibayar dalam dolar AS, menyumbang 38% daripada jumlah kos pembangunan untuk kilang Kulim," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham. - DagangNews.com