Kontrak baharu Petronas dijangka menyumbang sehingga RM120 juta kepada untung bersih teras MISC | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu Petronas dijangka menyumbang sehingga RM120 juta kepada untung bersih teras MISC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - CIMB Securities menjangkakan MISC Bhd meraih untung bersih teras antara RM47 juta hingga RM120 juta menerusi kontrak pembinaan kapal pembawa gas asli cecair (LNG) daripada Petronas mulai FY27.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pendapatan tahunan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM265 juta bagi tempoh yang sama.

 

Mereka juga menekankan, kunci kira-kira kukuh MISC, dengan nisbah penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.2x, memastikan pembiayaan untuk pembinaan dua kapal pembawa LNG baharu itu dijangka tidak menimbulkan sebarang isu.

 

Terdahulu, MISC mengumumkan ia telah menandatangani surat hasrat dengan Petronas LNG Sdn Bhd untuk kontrak jangka panjang melibatkan pembinaan dua kapal pembawa LNG yang baru dibina, ditetapkan untuk bertahan selama 15 tahun, bermula pada 2027.

 

Bagaimanapun, butiran khusus seperti nilai kontrak, kapasiti dan tarikh mula yang tepat tidak didedahkan.

 

“Kami mengekalkan ramalan pendapatan, harga sasaran berasaskan aliran tunai diskaun RM10.25 sesaham, dan penarafan ‘beli’, sementara menunggu kemas kini lanjut daripada pihak pengurusan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, MISC turut mencapai persetujuan dengan Petronas untuk penamatan awal seawaan tiga kapal pembawa LNG iaitu Seri Ayu, Seri Angkasa dan Seri Begawan.

 

Kapal-kapal itu akan dihantar semula pada ulang tahun ke-20 mereka pada 2027/2028, dengan MISC menerima pampasan untuk penamatan awal.

 

Kumpulan itu juga memperoleh lanjutan kontrak untuk dua kapal pembawa LNG sedia ada, Seri Alam dan Seri Amanah yang akan terus beroperasi sehingga 31 Mac 2028, selepas kontrak semasa tamat pada 2025 dan 2026.

 

“Rasional di sebalik penamatan awal sewaan masa Seri Begawan masih tidak jelas. Bagaimanapun, MISC menyatakan binaan kapal pembawa LNG baharu itu sejajar dengan strateginya untuk memperbaharui armadanya dengan kapal moden dan cekap bagi mengurangkan pelepasan dan keamatan gas rumah hijau menjelang 2030,” katanya.

 

Dengan kontrak terbaharu itu, MISC kini mempunyai 19 kapal pembawa LNG dalam pembinaan, mengukuhkan lagi portfolio perkapalannya.

 

Empat kapal dijadualkan untuk penghantaran pada 2025 manakala 13 lagi pada 2026, dan baki dua menjelang 2027. Sejumlah 11 daripada kapal pembawa LNG ini disewa kepada Qatar Energy.

 

"Kami mengunjurkan bahawa potensi kadar sewa harian untuk kontrak-kontrak ini adalah dalam lingkungan AS$110,000-US$120,000 sehari, dengan mengambil kira kapasiti kapal sebanyak 174,000 meter padu, sama dengan binaan baharu yang lain dan tempoh jangka panjang,” katanya.- DagangNews.com