KUALA LUMPUR 14 Nov - Pertumbuhan kredit sektor perbankan Malaysia dijangka meningkat kepada 6% tahun depan, kata S&P Global.
Menurut tinjauan Perbankan Global S&P 2025, pertumbuhan itu akan dipacu peningkatan ekonomi yang lebih tinggi dan kenaikan permintaan korporat, terutamanya dalam projek infrastruktur utama.
"Anggaran kami menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.8% pada 2025. Kami meramalkan kadar dasar menurun kepada 2.75% pada 2025, berbanding 3.0% pada kadar semasa," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Dari segi kualiti aset, S&P Global berpendapat tekanan kos akibat rasionalisasi subsidi bahan api negara boleh meningkatkan beban kewangan bagi isi rumah berpendapatan rendah dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).
"Namun, kami percaya segmen itu akan menerima bantuan kewangan.
"Selain itu, permodalan kukuh dengan nisbah ekuiti biasa Tahap-1 pada kadar 14.8% pada akhir Jun 2024 dan penampan peruntukan sebanyak 1.6% daripada jumlah pinjaman akan membantu bank menyerap peningkatan tekanan kredit yang sederhana," katanya.
S&P Global turut meramalkan margin faedah bersih bank Malaysia mungkin menurun sebanyak 3-5 mata asas (bps) akibat persaingan sengit untuk pinjaman dan deposit.
Firma itu menjangkakan pulangan aset kekal antara 1.2% dan 1.3% dalam dua tahun akan datang.
"Potensi peningkatan keuntungan boleh datang dari kos kredit yang lebih rendah jika bank memilih untuk menghapuskan peruntukan berkaitan wabak," katanya.
Secara keseluruhannya, S&P Global berkata, prospek sektor perbankan Asia Pasifik dijangka kekal tidak menentu meskipun kadar Fed Amerika Syarikat (AS) menurun.
"Walaupun bank pusat Asia Pasifik dijangka mengikut langkah Fed AS untuk mengurangkan kadar, faktor domestik akan mempengaruhi kadar pelonggaran monetari di seluruh rantau.
"Permintaan global yang masih kukuh dan kepelbagaian pembuatan ke luar dari China mencipta peluang pertumbuhan untuk negara Asia Pasifik yang bertumpukan eksport.
"Dengan AS dan Eropah bersedia untuk membuat pendaratan lembut, kami menjangkakan pertumbuhan Asia Pasifik kekal pada kadar 4.4% untuk 2024-2025.
"Bagaimanapun, pendaratan keras global yang tidak dijangka boleh menjejaskan sentimen dan mencetuskan pengaliran keluar modal, khususnya di negara Asia yang sedang pesat membangun.
"S&P berkata, penyingkiran Jepun daripada kadar hampir sifar boleh mengakibatkan risiko pemberhentian dagangan secara tiba-tiba dan peralihan jangka panjang dalam peruntukan aset," katanya.- DagangNews.com