KUALA LUMPUR 22 Jan - KTI Landmark Bhd, melalui anak syarikat milik sepenuhnya K.T.I. Sdn Bhd (KTISB), menerima surat hasrat (LOI) daripada Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar untuk membangunkan projek perumahan di tanah seluas 57.25 hektar di Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Projek perumahan melibatkan 5,000 unit rumah mampu milik itu, tertakluk kepada kelulusan akhir pelan pembangunan dan pembinaan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Projek itu melibatkan pembangunan rumah atas tanah di daerah Sepanggar.
"Nilai keseluruhan anggaran kos pembinaan projek ini akan dimuktamadkan selepas perjanjian usaha sama ditandatangani," menurut pemfailan syarikat pemaju hartanah bersepadu itu di bursa saham.
Projek berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan keuntungan KTI Group sepanjang tempoh kontrak.
LOI tersebut menggariskan terma dan syarat awal, dengan rundingan lanjut dan perjanjian muktamad akan dilakukan selepas kelulusan permohonan tanah. - DagangNews.com