Lima pengilang gagal rayuan tangguh denda RM415.5 juta kerana komplot makanan haiwan | DagangNews Skip to main content

Lima pengilang gagal rayuan tangguh denda RM415.5 juta kerana komplot makanan haiwan

KUALA LUMPUR 6 Dis - Lima pengilang makanan haiwan gagal dalam rayuan menangguhkan denda sebanyak RM415.5 juta, sekali gus memaksa mereka membayar penalti berkenaan yang dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), berikutan pembabitan dalam komplot makanan ayam.

 

Keputusan oleh Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) itu, adalah denda terbesar yang pernah dikenakan oleh badan separa kehakiman tersebut dalam sejarah 12 tahun penubuhannya.

 

Syarikat terlibat adalah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dinding), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

 

Panel CAT yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Shahnaz Sulaiman turut dianggotai oleh Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Datuk Zainal Azman Abu Seman, Datuk Abdullah Isnin dan Chambai Anak Lindong.

 

MyCC diwakili oleh Tan Sri Tommy Thomas, Mervyn Lai dan Jason Teoh dari Jason Teoh & Partners.

 

Denda itu dikenakan pada Disember 2023, selepas syarikat-syarikat terbabit didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan komplot penetapan harga makanan ayam.

 

Semua syarikat berkenaan menaikkan harga makanan ayam yang mengandungi tepung soya dan jagung, antara awal 2020 hingga pertengahan 2022.

 

Mereka diberikan tempoh 30 hari dari tarikh hukuman dikenakan untuk membayar denda, namun menurut laporan The Edge, jumlah tersebut masih belum dijelaskan.

 

Siasatan MyCC mendedahkan, lima syarikat pengeluar itu menguasai kira-kira 40% daripada pasaran makanan haiwan di Malaysia daripada keseluruhan 29 pengeluar tempatan.

 

Menurut MyCC, makanan ayam merupakan perbelanjaan paling besar dalam penternakan haiwan tersebut, menyumbang sebanyak 72.8% daripada keseluruhan kos.

 

Siasatan itu juga mendedahkan bukti peningkatan harga makanan ayam antara RM1 dan RM4 bagi setiap 50 kilogram yang dijual oleh pihak-pihak tersebut antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

 

Pada Ogos 2022, MyCC buat sementara mendapati bahawa lima syarikat tersebut telah melanggar undang-undang persaingan, dan kemudiannya memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan hujah bertulis dan lisan.

 

Syarikat induk Leong Hup International dan PPB Group menolak keputusan siasatan MyCC, sebaliknya menyatakan tuduhan terhadap anak syarikatnya sebagai tidak berasas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, ketika mengumumkan denda tersebut tahun lalu berkata, kartel adalah kejahatan yang paling teruk dalam undang-undang persaingan dan merupakan bentuk sabotaj ekonomi pada tahap tertinggi, lebih-lebih lagi dalam kes kepentingan awam. - DagangNews.com