Mah Sing ambil alih tanah SP Setia di Johor, bangunkan M Grand Minori dengan GDV RM1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

Mah Sing ambil alih tanah SP Setia di Johor, bangunkan M Grand Minori dengan GDV RM1.5 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Mah Sing Group Bhd mengambil alih 2.42 hektar tanah di Taman Pelangi, Johor Bahru daripada SP Setia Bhd pada harga RM156.8 juta bagi dibangunkan menjadi projek apartmen servis premium.

 

Anak syarikat milik penuh Mah Sing, Dsara Sentral Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Pelangi Sdn Bhd, anak syarikat SP Setia untuk pembelian dua bidang tanah untuk cadangan pembangunan itu, kata kumpulan itu dalam tu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mah Sing berkata, apartmen servis premium itu, yang akan dinamakan sebagai M Grand Minori, akan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion. Tanah itu terletak 3km dari Stesen Rapid Transit System (RTS) Link Johor-Singapura Bukit Chagar.

 

 

“Pembangunan itu disasarkan kepada pelbagai pembeli, termasuk pemilik rumah kali pertama, penaik taraf dari perbandaran mapan berhampiran, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, warga Singapura, dan pembeli asing lain dan pendaftaran dijangka bermula pada suku kedua 2025, " kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

 

Mah Sing berhasrat untuk membiayai kos dan perbelanjaan yang berkaitan dengan cadangan pengambilalihan dan cadangan pembangunan melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

"Campuran pembiayaan yang tepat akan diputuskan oleh pihak pengurusan pada peringkat kemudian selepas mengambil kira tahap penggearan kumpulan, kos faedah serta keperluan tunai dalaman untuk operasi perniagaannya," katanya.

 

Ia menandakan pengambilalihan tanah keenam Mah Sing pada 2024, menjadikan jumlah GDV bagi kesemua enam pengambilalihan kepada RM5.8 bilion. 

 

Di Johor sahaja, Mah Sing memperoleh tiga petak tanah yang merangkumi 40.63 hektar tanah, dinamakan M Tiara 2 pada April, diikuti dengan pengambilalihan Disember 23.92 hektar untuk M Tiara 3.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, rasional kumpulan untuk berkembang di Johor datang memandangkan ia melihat "permintaan kukuh untuk hartanah", didorong oleh minat limpahan dari Singapura kerana kedekatannya dan harga hartanah yang agak berpatutan.

 

“Selain itu, projek infrastruktur yang berterusan, seperti RTS Link, dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan ekonomi Johor, mewujudkan persekitaran yang menjanjikan untuk pertumbuhan.

 

“Dengan pengiktirafan jenama kami yang kukuh di rantau ini, kami yakin ini adalah masa yang sesuai untuk meluaskan lagi kehadiran kami kerana ketersambungan yang lebih baik dan pasaran hartanah yang berkembang pesat menyediakan peluang pembangunan yang sangat baik,” katanya.

 

Dalam makluman berasingan, SP Setia berkata, pelupusan tanah itu akan membantu kumpulan mengoptimumkan dan mengimbangi semula bank tanahnya dan bergerak ke arah struktur asset baharu dan mencapai modal yang cekap.

 

Selepas pelupusan, SP Setia masih memiliki bank tanah yang masih belum dibangunkan yang masih banyak seluas kira-kira 454.46 di Wilayah Selatan, yang bersedia untuk pembangunan lanjut dalam tempoh 10 tahun akan datang, katanya.

 

"Fokus utama kumpulan itu adalah untuk membangunkan simpanan tanahnya di Wilayah Selatan menjadi estet perindustrian yang akan terdiri daripada taman eko-industri yang akan datang, dan pembangunan perbandaran," katanya. - DagangNews.com