Malaysia luluskan pelaburan bernilai RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

Malaysia luluskan pelaburan bernilai RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Dis - Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024, peningkatan stabil sebanyak 10.7 peratus berbanding RM230.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), prestasi kukuh itu mencerminkan momentum ekonomi Malaysia yang berterusan, didorong oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama.

 

Sektor perkhidmatan mendahului dengan RM160.7 bilion, diikuti oleh sektor pembuatan (RM88.8 bilion) dan sektor utama (RM5.2 bilion).

 

"Sebanyak 4,753 projek baharu telah diluluskan sepanjang tempoh ini, mewujudkan 159,347 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia. 

 

"Prestasi yang kukuh ini menegaskan daya tarikan Malaysia yang berterusan kepada pelabur, meskipun diancam ketidaktentuan global," kata MIDA dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menurut MIDA, pertumbuhan jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 75.9 peratus, manakala kelulusan projek naik 20.7 peratus tahun ke tahun.

 

Agensi itu juga menyatakan, pelaburan domestik (DI) merangkumi 58.1 peratus (RM148 bilion) daripada jumlah kelulusan, manakala pelaburan asing (FI) menyumbang 41.9 peratus (RM106.7 bilion).

 

Negeri-negeri dengan prestasi pelaburan tertinggi mengikut nilai adalah Selangor (RM66.8 bilion), Kuala Lumpur (RM63.9 bilion), Kedah (RM34 bilion), Pulau Pinang (RM22.6 bilion) dan Johor (RM18.1 bilion).

 

Lima pelaburan asing terbesar datang dari Jerman (RM30.9 bilion), China (RM10.8 bilion), Amerika Syarikat (RM8.4 bilion), Belanda (RM4.9 bilion) dan Singapura (RM4.4 bilion).

 

Sektor Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) menyumbang RM119.9 bilion, mewakili 47.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan merentas pelbagai sektor ekonomi.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan itu mencerminkan keyakinan yang teguh dari pelabur terhadap dasar ekonomi negara dan arah tuju negara.

 

Beliau berkata, lonjakan dalam pelaburan dan peluang kerja yang tinggi menunjukkan kejayaan rangka kerja strategik domestik dan usaha gigih untuk menarik pelaburan berimpak tinggi bagi pertumbuhan mampan.

 

"Secara jelas, dasar Malaysia yang konsisten dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri telah mendorong pelabur untuk melaksanakan komitmen jangka panjang, sambil memperkukuhkan kemampuan kita untuk menangani cabaran global yang berkembang dengan berkesan.

 

"Seiring dengan hasrat Malaysia menjadi satu daripada 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033, Kerajaan Madani komited untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan kedua-dua pelabur domestik dan antarabangsa berkembang," katanya.

 

Tambah beliau, fokus kementerian tidak hanya untuk mencapai sasaran pelaburan, tetapi juga asas bagi ekonomi yang mampan dan inklusif yang akan memperkasa seluruh rakyat Malaysia. - DagangNews.com