Margin untung Swift Haulage akan bertambah baik pada 2HFY24 seiring peningkatan volum kontena - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Margin untung Swift Haulage akan bertambah baik pada 2HFY24 seiring peningkatan volum kontena - MIDF Research

Gambar Swift Haulage
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - MIDF Research menjangkakan margin untung sebelum cukai (PBT) Swift Haulage Bhd akan bertambah baik pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24).

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini memandangkan volum kontena pada separuh kedua tahun kewangan dijangka mencapai 332,376 TEU mewakili pertumbuhan +3.0% untuk tahun penuh.

 

"Pemulihan yang dijangkakan dalam jumlah pengangkutan kontena juga boleh mendorong peningkatan dalam pekerjaan penghantaran barang, kerana Swift menguruskan 30% perniagaan pengangkutan kontenanya secara dalaman untuk keperluan penghantaran barangnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research berkata, jumlah kontena Swift (-11.0% YoY) lebih perlahan pada 2QFY24 disebabkan oleh ketidakcekapan yang disebabkan oleh kesesakan pelabuhan apabila krisis Laut Merah yang membawa kepada penurunan margin PBT (-2.3 ppts).

 

"Walau bagaimanapun, pengangkutan kontena lazimnya lebih kukuh pada separuh kedua yang menyumbang 55% daripada volum tahunan Kumpulan," jelasnya.

 

Ujar firma itu, penurunan pada suku kedua FY24 didorong oleh kadar yang lebih rendah disebabkan oleh permintaan perayaan yang lebih lemah berbanding tahun sebelumnya. 

 

"Pada masa hadapan, kami melihat potensi tambahan dalam segmen ini apabila kadar penggunaan gudang bertambah baik pada suku akan datang, yang boleh menawarkan pertumbuhan selanjutnya melalui peluang jualan silang," katanya.

 

MIDF Research dalam pada itu menurunkan unjuran pendapatan Swift Haulage bagi FY24 sebanyak -12% untuk lebih selaras dengan statistik operasi 1HFY24, termasuk penurunan unjuran kadar pengangkutan darat manakala unjuran FY25/FY26 tetap tidak berubah. 

 

"Namun, kami mengekalkan saranan 'Beli' ke atas Swift dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak 54 sen sesaham (berdasarkan 11x EPS FY25F). Kami percaya bahawa saham ini kini dinilai rendah kerana ia didagangkan pada -0.5 SD di bawah purata sejarah sector," ujarnya. - DagangNews.com