Tenaga elektrik ibarat emas dalam persaingan pusat data, Malaysia, ASEAN ada kelebihan - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Tenaga elektrik ibarat emas dalam persaingan pusat data, Malaysia, ASEAN ada kelebihan - Maybank IB

Fasa pertama Kampus Pusat Data 150MW JH1 milik Princeton Digital Group siap dibangunkan di Sedenak Tech Park, Johor. Gambar FB Datuk Onn Hafiz Ghazi
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - Tenaga adalah emas dalam persaingan pusat data dengan ketidaktersediaan bekalan elektrik adalah penghalang utama untuk pembangunan di pasaran negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Menurut firma penyelidikan itu, di Asia pula, Singapura mengenakan moratorium pembinaan pusat data baru dari 2019 hingga 2021 terutamanya disebabkan kekangan bekalan elektrik dengan 13% daripada permintaan tenaga datang daripada pusat data, menjadikannya kedua tertinggi di dunia selepas Ireland.

 

Sehubungan itu, Maybank IB meramalkan kemunculan pasaran pusat data baru di mana tanah tersedia dan akses kepada tenaga boleh diperbaharui yang berpatutan adalah lebih baik dan menjadi faktor penting bagi pengendali yang bercita-cita untuk membangunkan dan membina tapak yang lebih cekap dengan lebih cepat.

 

"Pusat data kini berpindah ke sumber pengeluaran tenaga. Menghadapi kesukaran besar dalam memberi tenaga kepada pusat data, beberapa pengendali pusat data kini mengadaptasi pendekatan baru: meletakkan pusat data lebih dekat dengan lokasi pengeluaran tenaga. 

 

"Amazon Web Services (AWS) pada Mac 2024 telah memperoleh kampus pusat data Talen Energy yang berkapasiti 960MW berhampiran stesen kuasa nuklear Susquehanna di Pennsylvania. 

 

"Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Talen juga akan membekalkan tenaga kepada AWS melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 10 tahun dari lokasi Susquehanna," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata, pasaran elektrik di ASEAN kekal mencukupi, dengan pelaburan yang berterusan dalam kapasiti penjanaan, infrastruktur, dan teknologi. 

 

Katanya, margin simpanan elektrik di ASEAN berada pada tahap selesa antara 30-80%, jauh melebihi purata global, menunjukkan bahawa kawasan ini mempunyai bekalan yang mencukupi.

 

"Selain daripada permintaan pusat data untuk keperluan sendiri, kami melihat potensi ASEAN untuk muncul sebagai hab yang memenuhi keperluan pusat data yang lebih luas di Asia dan global," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Awas keghairahan terhadap pusat data, Maybank IB ingatkan apa berlaku pada gelembung IT lewat 90-an - Maybank IB

 

elektrik
Elektrik dan air merupakan faktor penting dalam lokasi pusat data. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 

Tambah Maybank IB, selain tenaga, air juga kritikal untuk operasi pusat data yang diperlukan untuk operasi penting seperti penyejukan, pemadaman kebakaran dan penyelenggaraan. 

 

Namun kata firma itu, penekanan keperluan air tidak setinggi bekalan elektrik dengan Singapura misalnya menyaksikan pusat data menyumbang 13% daripada jumlah permintaan tenaga tetapi hanya 4% daripada keseluruhan penggunaan air.

 

"Di Malaysia, margin simpanan air Johor (perbezaan antara kapasiti pengeluaran dan penggunaan) berada pada tahap selesa sebanyak 16.9%, yang telah meningkat sebanyak 5 mata peratus dalam tiga tahun yang lalu. 

 

"Di sisi lain, Selangor/KL/Putrajaya juga berada pada tahap selesa sebanyak 15.3%.

 

"Walaupun sukar untuk menganggarkan ketersediaan air di bandar raya seperti Jakarta, Bangkok dan Kuala Lumpur, kami menganggarkan keperluan air bagi saluran pusat data yang akan datang berbanding keperluan air keseluruhan bandar tersebut adalah sekitar 1%, dan oleh itu, ia bukanlah tekanan yang material ke atas infrastruktur air di bandar-bandar ini," ujarnya.

 

Menurut Maybank IB, dalam hal ini memang benar, China dan India juga kelihatan menarik dari segi keseluruhan kos pemilikan untuk lokasi pusat data. 

 

Namun, kata firma penyelidikan itu, ASEAN tetap menjadi destinasi yang menarik untuk pusat data dan pembinaan kabel dasar laut disebabkan oleh sikap geopolitik yang neutral dan ketegangan perdagangan AS-China. 

 

"Di antara pengendali/REIT yang kami lebih suka adalah Singtel, TM, Globe Tel, MINT, dan YTL Power. Dalam sektor industri, pilihan kami adalah ST Engineering, Sunway, Gamuda, dan IJM Corp. 

 

"Penerima manfaat utiliti termasuk Sembcorp Ind, YTL Power, Solarvest, Gulf Energy, dan AC Energy. 

 

"Walaupun Tenaga ('Pegang') dijangka melihat lonjakan permintaan daripada pusat data, ia tidak akan membawa kepada peningkatan pendapatan yang material di bawah rangka kerja peraturan semasa. 

 

"Dalam sektor teknologi, kami melihat CSE Global, Delta Electronics, dan FPT sebagai penerima manfaat yang berpotensi," katanya. - DagangNews.com