TikTok Shop Summit beri peluang PMKS teroka peluang pertumbuhan baharu | DagangNews Skip to main content

TikTok Shop Summit beri peluang PMKS teroka peluang pertumbuhan baharu

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Sept - TikTok Shop terus memperkasakan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui TikTok Shop Summit, iaitu acara tahunan yang berkongsi pelbagai cerapan penting kepada peniaga tempatan menjelang musim jualan hujung tahun. 

 

Platform perniagaan dalam talian itu berkata, persidangan tahun ini memberi peluang kepada peniaga untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu melalui pemadanan dengan pencipta kandungan TikTok terkemuka seperti Khairul Aming, Pinn Yang, Dear Carynn, Almiyaz dan TulipPetals. 

 

"Selain itu, komuniti usahawan tempatan berpeluang belajar daripada pakar dan penjual terbaik semasa sesi perkongsian pengetahuan tentang strategi ‘shoppertainment’ yang memanfaatkan perkembangan tingkah laku pengguna. 

 

"Ini termasuk amalan terbaik tentang kandungan, penglibatan komuniti, penstriman langsung, penyelesaian iklan dan pengoptimuman prestasi kedai," ulasnya dalam kenyataan hari ini.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tonggak strategik KPDN. 

 

"E-dagang telah terbukti sebagai pemangkin penting ke arah mencapai aspirasi ini, memandangkan ekonomi digital Malaysia kini menyumbang hampir satu perempat daripada KDNK negara.

 

"Jadi, platform seperti TikTok Shop merupakan rakan kongsi penting bagi kerajaan dalam menyokong dan meningkatkan kemahiran PMKS tempatan bagi menggalakkan penyertaan inklusif daripada segenap lapisan masyarakat," katanya.

 

Di samping itu, Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz Fadzil turut berkongosi pandangan yang sama mengenai usaha kerajaan melalui kerjasama awam-swasta yang berterusan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. 

 

"Ekosistem komprehensif TikTok Shop memberikan PMKS peluang unik untuk bukan hanya menjual dalam talian, malah memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan," katanya.- DagangNews.com