Projek solar Matarani Yinson Renewables di Peru memulakan operasi penuh | DagangNews Skip to main content

Projek solar Matarani Yinson Renewables di Peru memulakan operasi penuh

Projek solar Matarani Yinson Renewables berkapasiti 97 MWp di Peru.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LMPUR 24 Sept - Yinson Renewables Matarani Solar Plant di Peru memasuki fasa operasi penuh baru-baru ini setelah memulakan eksport dan penjualan tenaga pada Julai 2024.

 

Loji berkapasiti 97 MWp ini, terletak berhampiran Arequipa, menjadikan Yinson Renewables sebagai pengeluar solar kedua terbesar di Peru dan merupakan projek operasi pertama Yinson di negara itu.

 

Loji ini, yang memulakan operasi lebih awal daripada jadual, direka untuk menghasilkan 260 GWh tenaga boleh diperbaharui (RE) setiap tahun dan dianggarkan mampu memenuhi keperluan elektrik kira-kira 62,000 isi rumah Peru serta mengelakkan pelepasan lebih daripada 56,000 tan karbon dioksida setiap tahun. 

 

Loji ini mempunyai hampir 150,000 panel yang meliputi kawasan seluas 750,000 meter persegi.

 

Matarani Solar Plant mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang dengan Orygen, pengeluar RE terkemuka di Peru, yang mana pemegang saham majoritinya adalah dana pelaburan infrastruktur mampan global, Actis.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Renewables, David Brunt berkata, Matarani Solar Plant adalah pencapaian penting bagi Yinson Renewables, sebagai projek pertama kami di Peru dan di rantau ini. 

 

"Dengan loji ini kini beroperasi sepenuhnya, Yinson Renewables telah mewujudkan asas yang kukuh untuk memperluas operasi kami di rantau ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Yinson kumpul RM283.2 juta daripada penempatan persendirian, KWAP muncul pelabur utama

 

Yinson Renewables yang merupakan anak syarikat Yinson Holdings Berhad memperoleh projek ini daripada Grenergy Renewables pada Januari 2024. 

 

Grenergy menyediakan kontrak EPC turnkey penuh untuk pembinaan projek dan juga akan menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan untuk dua tahun pertama.

 

Yinson Renewables mempunyai aspirasi pertumbuhan yang kuat di Amerika Latin, dengan saluran projek hampir 1 GW yang dijangka dibangunkan dalam tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Di Peru, Yinson Renewables juga memiliki Projek Majes berkapasiti 130 MWp, di mana fasa pertama dijangka siap untuk pembinaan menjelang akhir 2024. 

 

Matarani adalah projek berskala besar keempat Yinson Renewables yang mencapai operasi komersial, setelah tiga projek pertama iaitu loji Rising Bhadla 1 & 2 dan loji Nokh di India. - DagangNews.com