Sah Petronas tidak ada mempertimbangkan tindakan menyaman kerajaan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Sah Petronas tidak ada mempertimbangkan tindakan menyaman kerajaan Sarawak

Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz semasa mesyuarat bersama syarikat minyak negara itu dengan kerajaan negeri Sarawak di Kuching pada 24 Sept 2024. — Gambar dari Pejabat Premier Sarawak
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Sept - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan syarikat minyak negara itu tidak mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

 

Ini disahkan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan melalui Pejabat Perdana hari ini susulan mesyuarat antara kerajaan Sarawak, Petronas, dan Petros di sini.

 

“Kerajaan Sarawak, Petronas, dan Petros mengesahkan perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak kini sedang berjalan antara pihak-pihak dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” kata kenyataan bersama itu.

 

"Semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang Persekutuan dan Negeri berhubung perkara ini," menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak, media rasmi kerajaan negeri hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perbincangan Petros-Petronas masih diteruskan, kata Abang Johari

 

Awal September, heboh cerita kononnya Petronas berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Petros dan kerajaan negeri.

 

Perkara itu telah dinafikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyatakan perbincangan kedua-dua pihak tersebut masih berjalan.

 

Bagi menjawab laporan yang memaklumkan perbincangan itu menemui jalan buntu, Abang Johari berkata, tarikh akhir perbincangan antara kedua-dua syarikat itu tetap sebelum 1 Oktober 2024.

 

“Petros akan bekerjasama dengan Petronas dalam pembangunan kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran.

 

Premier Sarawak menegaskan, tiada isu antara Petros dan Petronas. - DagangNews.com

 

ARTIKEL BERKAITAN: Idris Buang: Kesan negatif kepada ekonomi Malaysia, kestabilan politik jika Petronas bawa Sarawak ke mahkamah