KUALA LUMPUR 6 Dis - Maxland Bhd (Maxland) menandatangani perjanjian sewa tanah selama 60 tahun untuk mendirikan pusat data di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah.
Anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Maxland Data Sdn Bhd (MDSB), memeterai perjanjian tersebut dengan Kulim Technology Park Corp Sdn Bhd untuk menyewa sebidang tanah seluas 1.84 hektar di Zon Industri Fasa 2 KHTP dengan harga RM9.95 juta, yang akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank.
Setakat akhir September, Maxland mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM2.65 juta, manakala pinjaman berjumlah RM17.17 juta.
Tempoh sewa 60 tahun itu akan bermula pada 15 Disember 2024 dan berakhir pada 14 Disember 2084.
Perjanjian tersebut juga termasuk pilihan untuk pembaharuan selama 39 tahun, tertakluk kepada persetujuan bersama dan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri Kedah.
"Harga sewa sebanyak RM9.95 juta, yang dikira pada kadar RM50 setiap kaki persegi, dipersetujui atas dasar penjual rela, pembeli rela," kata Maxland dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu menjelaskan, syarat pembayaran termasuk deposit sebanyak 10% iaitu RM995,346 dalam tempoh 14 hari selepas menandatangani perjanjian sewa, dengan baki 90% berjumlah RM8.96 juta perlu dibayar dalam tempoh enam bulan.
Dalam kenyataan berasingan, Maxland mengumumkan bahawa MDSB telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Global Data Centre Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam projek-projek berpotensi, terutamanya dalam industri tenaga, termasuk pusat data, tenaga solar dan loji kuasa di Malaysia.
"Melihat kepada permintaan yang pesat terhadap pusat data di rantau ini serta kelebihan strategik yang ditawarkan Malaysia, MDSB melihat peluang untuk menubuhkan pusat data.
"Syarikat ini mahu memanfaatkan keadaan pasaran semasa, untuk meletakkan diri dalam kedudukan yang baik bagi memperoleh manfaat daripada lonjakan perubahan digital sambil memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat bagi perkhidmatan awan dan storan data,” katanya.
Dikenali sebagai Priceworth International Bhd sebelum ini, perniagaan teras Maxland melibatkan penjualan produk kayu olahan (kayu balak) serta perkhidmatan pembinaan dan pembaikan kapal.
Kumpulan itu berkata, terdapat cabaran yang berterusan dalam pasaran kayu balak, yang dijangka memberi kesan kepada prestasinya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025).
Untuk suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY2025), sektor kayu balak menyumbang 79% kepada pendapatannya.
Maxland kini sedang merundingkan pelan penstrukturan semula hutang dan menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai liabiliti utama, susulan amaran daripada juruauditnya mengenai ketidakpastian material dalam penyata kewangan FY2024, yang menimbulkan keraguan terhadap keupayaannya untuk terus beroperasi.
Juruaudit Maxland menekankan, kumpulan itu mengalami kerugian bersih sebanyak RM61.2 juta untuk FY2024 bersama dengan kerugian kasar sebanyak RM31.5 juta.
Selain itu, liabiliti semasa Maxland melebihi aset semasa sebanyak RM69.8 juta, kekurangan yang disebabkan oleh dua kewajipan besar berjumlah RM80 juta yang perlu dibayar kepada pemiutang pihak ketiga.- DagangNews.com