KUALA LUMPUR 26 Nov - Untung bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM2.54 bilion berbanding RM2.36 bilion bagi suku sama tahun sebelumnya.
Hasil bank itu meningkat kepada RM16.69 bilion berbanding RM16.02 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), Maybank berkata, keuntungan bersih ialah RM7.56 bilion pada hasil RM52.21 bilion, berbanding RM6.96 bilion hasil RM47.34 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023.
"Ia disebabkan pertumbuhan kukuh 26% tahun ke tahun dalam pendapatan bukan faedah (NOII) kepada RM7.49 bilion, dipacu peningkatan yuran teras dan prestasi insurans.
"Pendapatan berasaskan dana bersih juga meningkat 1.5% kepada RM14.66 bilion pada pertumbuhan pinjaman yang kukuh sebanyak 4.8% tahun-setakat ini secara tahunan daripada tiga segmen pasaran utama Malaysia, Singapura dan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Margin faedah bersih kumpulan turun 14 mata asas tahun ke tahun akibat kos pendanaan yang lebih tinggi di seluruh pasaran tempatan, tetapi telah stabil pada 2.04% sejak 2QFY24.
Kos overhed pula meningkat kepada RM10.77 bilion daripada RM9.77 bilion setahun sebelumnya. Bagaimanapun, keuntungan praperuntukan meningkat 7.2% tahun ke tahun kepada RM11.38 bilion.
Deposit kumpulan berkembang 6.7% apabila deposit tetap dan akaun simpanan akaun semasa (CASA) meningkat sama sebanyak 0.6%.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, bank itu mencapai kemajuan yang baik dengan hasil yang sihat dan pendapatan keseluruhan sembilan bulan yang membanggakan.
Beliau berkata, prestasi yang lebih baik itu dicapai walaupun menghadapi cabaran di hadapan global dan turun naik pasaran di seluruh rantau ini.
"Berpandukan strategi korporatnya untuk memfokus dan memacu inisiatif dalam bidang pertumbuhan, terutamanya pengurusan kekayaan, bankasurans dan segmen pasaran pertengahan perbankan global, telah membuahkan hasil yang positif untuk kumpulan.
"Ia sebagai tambahan kepada keutamaan untuk mengekalkan kedudukan mudah tunai yang kukuh sambil meningkatkan kualiti aset dan mengekalkan tahap modal yang kukuh,” katanya. - DagangNews.com