KUALA LUMPUR 26 Nov - Pharmaniaga Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM101.3 juta pada 3QFY24, menunjukkan pemulihan kewangan kukuh berbanding dengan kerugian RM49 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, bagi sembilan bulan pertama FY24 (9MFY24), hasil Pharmaniaga meningkat 8.4% kepada RM2.8 bilion, dipacu permintaan lebih tinggi dalam segmen konsesi dan pertumbuhan pasaran Indonesia.
"Segmen logistik dan pengedaran mencatatkan hasil RM153.8 juta, didorong oleh jualan konsesi yang lebih tinggi dan pengoptimuman kos.
“Selain itu, segmen pembuatan mencatatkan hasil RM23.2 juta berikutan pelarasan harga dan penambahbaikan kos.
"Hasil pasaran Indonesia pula meningkat kepada RM27 juta, didorong oleh jualan yang lebih tinggi dan cawangan baharu," katanya.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar mengulas tentang pemulihan berterusan kumpulan dan prestasi kewangan yang teguh pada suku tersebut.
"Pharmaniaga telah melancarkan kemudahan pembuatan insulin dan vaksin milik tempatan yang pertama di Malaysia, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd, di Puchong, Selangor bagi mengurangkan pergantungan kepada vaksin import.
"Kami juga telah menerima kelulusan kawal selia bagi produk insulin manusia rekombinan dan dijangka membekalkan produk itu kepada hospital kerajaan menjelang suku pertama 2025," katanya.
Beliau berkata, Pharmaniaga kekal optimis terhadap perkembangan kumpulan, terutamanya dengan peruntukan penjagaan kesihatan dalam Bajet 2025 Malaysia sebanyak RM45.3 bilion.
"Walaupun prestasi kumpulan semakin kukuh, kami tetap berhati-hati mengenai prestasi 4QFY24 berikutan jangkaan turun naik dalam perbelanjaan kerajaan.
"Sementara itu, Boustead Holdings Bhd, syarikat induk Pharmaniaga, positif terhadap pelan penyusunan semula kumpulan dan peranannya dalam pertumbuhan mampan jangka panjang Pharmaniaga," katanya. - DagangNews.com