Maybank lantik Mazhatulshima sebagai GCHCO berkuat kuasa 3 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Maybank lantik Mazhatulshima sebagai GCHCO berkuat kuasa 3 Oktober 2024

Mazhatulshima Mohd Zahid
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Okt - Maybank melantik Mazhatulshima Mohd Zahid sebagai Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan (GCHCO) berkuat kuasa 3 Oktober 2024.

 

Mazhatulshima akan bertanggungjawab memacu strategi kakitangan kumpulan berdasarkan rangka kerja dan inisiatif pengurusan insan seluruh perusahaan secara progresif dan komprehensif, untuk membolehkan pembangunan berterusan warga Maybank di semua peringkat, sektor dan negara. 

 

Beliau akan melapor kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli dan menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan. 

 

Mazhatulshima, 54, akan menggantikan Datuk Dr Nora Abd Manaf yang bersara selepas kerjaya selama 16 tahun bersama Maybank.

 

Sebagai seorang profesional yang berkaliber dengan lebih daripada 29 tahun pengalaman terutamanya dalam bidang perbendaharaan, pengurusan risiko dan audit dalaman, Mazhatulshima memulakan kerjayanya dalam urusan perbendaharaan dan kemudian beralih kepada pengurusan risiko pasaran.

 

Beliau telah berkhidmat dengan institusi-institusi kewangan terkemuka di Malaysia sebelum menyertai Maybank Kim Eng Group (kini dikenali sebagai Maybank Investment Banking Group) sebagai Ketua Pegawai Risiko pada Julai 2018.

 

Pada April 2023, Mazhatulshima dilantik sebagai Ketua Eksekutif Audit di Maybank Singapura, di mana beliau mengetuai pasukan pengamal audit dalam menyampaikan kerja audit berkualiti tinggi dengan mengambil pendekatan berasaskan risiko dan amalan audit yang dipertingkatkan secara ketara melalui peningkatan penggunaan analisis data, peralatan digital dan pelaksanaan pengauditan berterusan. 

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Sains Aktuari dari Roosevelt University, Chicago, Illinois.

 

Khairussaleh berkata, pelantikan itu menunjukkan keberkesanan perancangan penggantian dalaman dan dasar pengurusan bakat Maybank, seiring dengan matlamat organisasi untuk mengukuhkan dan mempergiatkan pembinaan kapasiti dalaman.

 

"Pengalaman Mazhatulshima yang pelbagai menjadi suatu ciri penting dalam memastikan tenaga kerja kami bersedia pada masa hadapan dan dilengkapi dengan penyelesaian yang mencukupi, menangani reka bentuk organisasi untuk menyokong keperluan perniagaan dalam persekitaran yang berteraskan pelanggan, menerajui pembangunan dan pengurusan pengenalan bakat serta menginstitusikan amalan ‘Agile’ sebagai budaya dan DNA kami, selaras dengan strategi M25+," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

 

Khairussaleh menambah, Kumpulan Maybank ingin mengucapkan terima kasih kepada Nora atas komitmen tinggi dan sumbangan besar beliau selama ini dalam mengukuhkan kedudukan Maybank sebagai organisasi terkemuka di rantau ini.

 

"Melalui kepimpinannya yang berkesan, Nora telah memainkan peranan penting dalam membentuk strategi kakitangan Maybank dan memacu inisiatif utama berkaitan pengurusan bakat, pembangunan kepimpinan, pembangunan organisasi dan budaya. 

 

"Beliau telah menjadi pemimpin yang berteladan dalam menyelaraskan strategi sumber manusia (HR) dengan mengutamakan matlamat perniagaan organisasi, memupuk pertumbuhan dan memacu transformasi serta mengukuhkan kedudukan Maybank sebagai majikan pilihan di beberapa jadual kedudukan pekerjaan siswazah utama," ujarnya. - DagangNews.com