MClean Technologies Bhd dapat kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian sehingga 49.3 juta penempatan persendirian | DagangNews Skip to main content

MClean Technologies Bhd dapat kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian sehingga 49.3 juta penempatan persendirian

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Nov - MClean Technologies Bhd (MClean) memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk penyenaraian sehingga 49.3 juta saham yang akan diterbitkan di bawah penempatan persendirian.

 

Penyedia penyelesaian pembersihan tepat dan rawatan permukaan itu dalam satu kenyataan pada Rabu menyatakan, langkah itu merupakan sebahagian daripada siri cadangan korporat strategik yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, mempelbagaikan aliran pendapatan dan mendorong pertumbuhan.

 

Jelas kenyataan tersebut, penempatan persendirian berkenaan dijangka mengumpul sehingga RM12.3 juta, yang akan digunakan untuk menyokong pengambilalihan yang dicadangkan bagi perniagaan acuan suntikan plastik We Total Engineering Sdn Bhd dan untuk menyediakan modal kerja bagi menyokong perniagaan yang baru diperoleh.

 

Pengambilalihan terbabit selaras dengan strategi MClean untuk meluaskan sumber pendapatan dan julat perkhidmatannya, serta mengakses peluang pertumbuhan baharu dalam sektor-sektor utama termasuk elektrik dan elektronik (E&E), automotif, minyak dan gas, serta peranti perubatan.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif MClean, Datuk Dr. Terence Tea Yeok Kian berkata, pihaknya gembira menerima kelulusan Bursa Securities untuk cadangan penempatan persendirian, yang mewakili satu langkah ke hadapan yang penting untuk MClean. 

 

"Memperolehi perniagaan pengacuan suntikan plastik pada nilai buku bersih RM6.04 juta, adalah satu pembelian yang berpatutan untuk MClean. 

 

"Dengan rekod prestasi We Total yang mantap dalam perniagaan pengacuan suntikan plastik, Cadangan Penempatan Persendirian akan mengumpul dana untuk MClean melaksanakan pengambilalihan dan membolehkan kami mempelbagaikan asas pendapatan kami, mengembangkan tawaran perkhidmatan kami dan meningkatkan kedudukan MClean untuk pertumbuhan masa hadapan," katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com