Pemergian Tun Daim Zainuddin merupakan satu kehilangan besar buat negara, seorang tokoh yang meninggalkan jejak mendalam dalam sejarah ekonomi dan politik Malaysia.
Sebagai seorang tokoh yang tidak sering mencari perhatian, Daim berdiri teguh sebagai pemimpin yang bekerja dengan penuh integriti, berprinsip, dan berpandangan jauh – seorang yang meletakkan kepentingan negara melebihi segala-galanya.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Alor Setar, Kedah, Daim memulakan hidup dalam suasana kampung yang sederhana sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn, London.
Sekembalinya ke tanah air, beliau menceburi dunia perniagaan, menapak dari bawah hingga membina kejayaan besar dalam sektor hartanah, antaranya melalui projek Taman Maluri yang kini ikonik di Kuala Lumpur.
Pengalaman perniagaan ini bukan sahaja memperkaya wawasan beliau tetapi turut membentuk pandangan dan dasar ekonominya kelak.
Pelantikannya sebagai Menteri Kewangan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1984 berlaku pada saat-saat genting, tatkala Malaysia menghadapi cabaran ekonomi yang besar.
Dengan pendekatan yang tenang dan berstrategi, Tun Daim berjaya mengekalkan kestabilan ekonomi negara melalui langkah-langkah pemulihan yang inovatif.
Beliau memperkukuh sektor swasta, mengawal inflasi, dan menggalakkan pelaburan dalam bidang perindustrian. Di bawah bimbingannya, ekonomi Malaysia bukan sahaja pulih, malah berkembang pesat.
Namun, jasa beliau paling terserlah ketika krisis kewangan Asia 1997. Ketika negara-negara jiran tunduk kepada IMF, Daim dan Dr Mahathir mengambil langkah berani menolak campur tangan asing dan melaksanakan kawalan modal serta kadar tukaran tetap bagi Ringgit.
Langkah yang pada awalnya dikritik ini ternyata melindungi Malaysia daripada terjerat dalam hutang asing dan mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
Tun Daim dan Tun Mahathir dilihat berpendirian bahawa Malaysia mampu berdiri sendiri tanpa perlu tunduk kepada syarat-syarat luar yang bakal membebankan rakyat.
Tun Daim adalah seorang yang lebih mengutamakan tindakan berbanding kata-kata. Beliau sentiasa tenang dalam menghadapi kritikan dan seringkali memilih untuk tidak memberi reaksi kepada tuduhan yang tidak berasas.
Meskipun pernah dilabel dengan tuduhan kronisme, Daim tidak pernah membiarkan tuduhan tersebut menggoyahkan prinsipnya – beliau yakin bahawa kejayaan hasil kerja kerasnya akan berbicara untuknya.
Di peringkat antarabangsa, Tun Daim turut dihargai atas kearifannya dalam sektor perbankan dan ekonomi. Beliau menerima anugerah ‘International Business Leader’ oleh African Investor pada 2006 atas sumbangan beliau di Afrika, dan pada tahun 2013, syarikat perbankannya disenaraikan di London Stock Exchange, satu pencapaian yang jarang sekali diraih oleh anak Malaysia.
Pemergian Tun Daim adalah satu peringatan akan pentingnya keberanian dan integriti dalam memimpin. Legasi beliau dalam memperjuangkan ekonomi negara dengan semangat kental dan komitmen tidak berbelah bahagi akan terus dikenang.
Tun Daim Zainuddin bukan sahaja ikon ekonomi, tetapi simbol keberanian dalam menegakkan kepentingan rakyat Malaysia.
Biarpun jasadnya telah tiada, semangat dan prinsip yang beliau tinggalkan akan terus menjadi inspirasi buat generasi mendatang dalam meneruskan usaha ke arah Malaysia yang lebih berdaulat dan mapan. - DagangNews.com
Dr Mahathir Hj Mohd Rais adalah Setiausaha Perikatan Nasional Wilayah