MIDF Research kekal saranan ‘beli’ ke atas MMHE, naikkan TP kepada 72 sen | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal saranan ‘beli’ ke atas MMHE, naikkan TP kepada 72 sen

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Malaysian Marine & Heavy Engineering (MMHE) dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 72 sen daripada 65 sen sesaham. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan unjuran itu berdasarkan keputusan kewangan 9MFY24 kumpulan yang melebihi anggaran tahunan firma itu sebanyak 37%.

 

Katanya, MMHE melaporkan hasil 9MFY24 meningkat 27.4% kepada RM2.19 bilion. 

 

“Berdasarkan keputusan kewangan 9MFY24 kumpulan itu, kami menyemak unjuran pendapatan FY24 sehingga FY25 mencerminkan peningkatan dalam aktiviti huluan di tengah-tengah jangkaan aktiviti dok kering yang lebih rendah pada musim sejuk.

 

“Bagi sektor kejuruteraan berat (HE), hasil MMHE meningkat tujuh kali ganda kepada RM87.5 juta didorong oleh tuntutan pemulihan kos.

 

“Buku pesanan MMHE bagi tempoh sembilan bulan tahun ini berjumlah RM5.3 bilion iaitu peningkatan 84% daripada FY23,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Di samping itu, hasil sektor marin meningkat 66% YoY kepada RM33.9 juta disokong oleh kekerapan aktiviti dok kering dan pembaikan, terutamanya bagi LNGC, kerana permintaan untuk penukaran dan penyahkarbonan semakin meningkat. 

 

“Walaupun harga minyak mentah Brent turun 7.4% pada suku ketiga tahun ini, aktiviti huluan minyak dan gas (O&G) kekal optimis, diokong oleh permintaan yang berterusan untuk keselamatan tenaga menjelang musim sejuk.

 

“Selain itu, segmen marin akan mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih tinggi bagi rumusan karbon rendah dalam sektor perkapalan.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan MMHE akan memanfaatkan trend itu memandangkan portfolionya yang kukuh dalam perkhidmatan industri tenaga konvensional dan bersih,” katanya.- DagangNews.com