MIH Megatrends 2024 tarik lebih 5,000 pengunjung, beri impak besar terhadap penjagaan kesihatan global | DagangNews Skip to main content

MIH Megatrends 2024 tarik lebih 5,000 pengunjung, beri impak besar terhadap penjagaan kesihatan global

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Okt - Persidangan Kesihatan Antarabangsa, Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 yang berakhir pada Ahad berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung termasuk profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik, para pelajar dan orang awam yang berminat meneroka inovasi terkini dalam penjagaan kesihatan. 

 

Acara selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare serta sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Persidangan tahun ini menyediakan platform untuk pelbagai pihak yang ingin melibatkan diri dalam perbincangan meliputi topik-topik kritikal penjagaan kesihatan, termasuklah kecerdasan buatan (AI) dan inovasi kesihatan digital. 

 

Perbincangan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri penjagaan kesihatan, seiring dengan persiapan negara sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, MIH Megatrends 2024 terbukti menjadi platform penting dalam memajukan perbincangan penjagaan kesihatan dengan kehadiran 5,000 pengunjung secara fizikal, serta hampir dua juta jumlah tontonan secara keseluruhan menerusi program MIH Megatrends Live+.

 

"Pengunjung yang hadir ke persidangan secara fizikal atau dalam talian, merangkumi penonton tempatan dan antarabangsa. 

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi, pempamer dan pengunjung awam yang menyumbang kepada kejayaan acara ini kerana menyerlahkan potensi Malaysia dalam membentuk trend penjagaan kesihatan masa depan," katanya.

 

Ujar beliau, dengan berakhirnya MIH Megatrends 2024, harapan tinggi terhadap persidangan tahun depan telah mula terbina, dengan tarikh bakal diumumkan oleh Kementerian Kesihatan tidak lama lagi. 

 

"KPJ Healthcare komited untuk memperkukuh momentum bagi memastikan edisi-edisi akan datang terus mencerminkan perkembangan landskap penjagaan kesihatan global yang dinamik," tambahnya. - DagangNews.com