Nihon M&A Centre Holdings tubuhkan AtoG Capital, pacu perkembangan syarikat Jepun ke rantau ASEAN | DagangNews Skip to main content

Nihon M&A Centre Holdings tubuhkan AtoG Capital, pacu perkembangan syarikat Jepun ke rantau ASEAN

Yusuke Ojima
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Okt - Firma Jepun, Nihon M&A Center Holdings (Nihon M&A Center) mengumumkan penubuhan sebuah syarikat pengurusan dana, ASEAN to Global Capital (AtoG Capital), bertujuan menyokong pertumbuhan syarikat Jepun ke rantau ASEAN.

 

Melalui dana ini, syarikat berhasrat untuk memudahkan transaksi M&A merentas sempadan, dengan kerjasama pertama dimulakan di Malaysia bersama CK MAC Global Sdn. Bhd., sebuah syarikat perdagangan yang pakar dalam Mesin Kawalan Berangka Komputer (CNC) dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang beroperasi di Malaysia dan Singapura.

 

AtoG Capital memberi tumpuan kepada promosi peluang M&A merentas sempadan antara syarikat Jepun dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ASEAN, sekali gus menegaskan komitmen syarikat dalam membantu PKS menyusun semula operasi mereka, dengan matlamat akhir mewujudkan perkongsian yang berjaya dengan syarikat Jepun.

 

Ketua Rantau ASEAN Nihon M&A Center, Yusuke Ojima, berkata, selama beberapa dekad, Jepun dan ASEAN terutamanya bersama Malaysia telah menjalin hubungan perniagaan yang kukuh, didorong oleh komitmen bersama terhadap pembangunan ekonomi di rantau ini.

 

"Dengan penubuhan AtoG Capital, ini menandakan langkah penting dalam memudahkan peluang pelaburan merentas sempadan dan kami berdedikasi untuk menyediakan sumber dan kepakaran kepada pelanggan kami bagi menghadapi cabaran dalam urusan M&A antarabangsa, serta memupuk perkongsian yang berjaya yang dapat mempromosikan pertumbuhan mampan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Ojima, pasaran domestik Jepun yang berada dalam fasa matang memberi potensi pertumbuhan yang terhad berbanding dengan ekonomi asing yang dinamik dan pesat berkembang.

 

Rantau ASEAN, termasuk negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam, menawarkan peluang besar kepada syarikat Jepun yang mencari peluang untuk berkembang. 

 

Dengan mengembangkan pelaburan mereka ke pasaran yang berkembang pesat, syarikat Jepun bukan sahaja dapat mengurangkan risiko berkaitan turun naik ekonomi domestik, tetapi juga memanfaatkan peluang baharu untuk pertumbuhan jangka panjang dan perkembangan pasaran.

 

Secara statistik, peningkatan pelaburan dari Jepun ke ASEAN dalam jumlah dagangan dua hala  mencapai AS$241.1 bilion pada 2023, manakala jumlah aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Jepun ke ASEAN berjumlah AS$14.5 bilion.

 

Di Malaysia, Jepun menyumbang kira-kira AS$1.15 bilion (RM5.5 bilion), dengan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam sektor elektronik dan automotif, dan kekal pelabur utama di Indonesia dengan pelaburan sekitar AS$4.63 bilion.

 

Komitmen Jepun ke Thailand juga kekal teguh dengan pelaburan sebanyak AS$1.08 bilion (THB40.2 bilion), yang tertumpu kepada sektor pembuatan berteknologi tinggi, manakala jumlah pelaburan di Vietnam mencatat hampir AS$6.57 bilion, peningkatan ketara sebanyak 37.3% berbanding tahun sebelumnya.

 

Pelaburan Jepun di Singapura meningkat dengan mendadak, mencapai AS$5.76 bilion (SGD$7.89 bilion), menunjukkan kerjasama erat dalam sektor kewangan dan teknologi.

 

Di Malaysia, permintaan untuk pelaburan Jepun semakin meningkat, dengan pertumbuhan ketara dalam urus niaga M&A yang berterusan setiap tahun. 

 

Sejak 2020, Nihon M&A Center Malaysia telah mencapai kejayaan luar biasa menerusi 13 urus niaga dengan nilai antara RM30 juta hingga sekitar RM200 juta. 

 

M&A memainkan peranan strategik untuk syarikat Jepun memasuki pasaran Asia, dan Malaysia berfungsi sebagai pintu masuk utama.

 

Kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk halal juga amat bernilai untuk syarikat Jepun yang ingin berkembang di pasaran Asia Tenggara dan negara-negara Arab. 

 

Oleh itu, melalui AtoG Capital, Nihon M&A Center berhasrat untuk memperkasakan syarikat-syarikat di ASEAN, terutamanya syarikat bersaiz sederhana untuk merealisasikan potensi penuh mereka di peringkat global. - DagangNews.com