Kapasiti dan kecekapan Northport sedia dipertingkat dengan lapangan kontena baharu | DagangNews Skip to main content

Kapasiti dan kecekapan Northport sedia dipertingkat dengan lapangan kontena baharu

Dari kiri, Jurutera Kanan Sivil Lembaga Pelabuhan Klang, Rosle Abidin, CEO Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, CEO MMC Engineering, Mohamad Asroll Mansor dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Marin, Wan Dasri Shah Wan Abdullah semasa acara perasmian lapangan kontena Blok K di Northport, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KLANG 7 Okt - Northport (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC, mengumumkan pembukaan lapangan baharu kontenanya, Blok K, lebih awal 51 hari daripada jangkaan serta bakal meningkatkan kapasiti keseluruhan lapangan kontena kepada 6,150,250 Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki (TEU) setahun.

 

Lapangan kontena Blok K baharu dengan 2,016 TGS (Jumlah Slot Tapak) itu, memberi tambahan kapasiti sebanyak 662,256 TEU berdasarkan hari simpanan (dwell days) selama 5 hari dengan pembinaannya dimulakan pada 14 Ogos 2023.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, penyempurnaan lapangan kontena Blok K baharu itu akan meningkatkan kapasiti keseluruhan Northport dengan ketara bagi mengendalikan jumlah kontena yang lebih tinggi.

 

"Projek yang disiapkan lebih awal ini, menzahirkan prestasi cemerlang kontraktornya iaitu MMC Engineering Sdn Bhd," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selaras dengan komitmen Northport terhadap kelestarian, lapangan kontena baharu itu akan disokong dengan penggunaan jentera kren mesra alam, Electrified Rubber Tyred Gantry (E-RTG). 

 

Northport telah membuat pembelian sebanyak 12 unit E RTG untuk operasi di Blok K, dengan lapan unit pertama dijangka tiba pada bulan Disember 2024, manakala baki empat unit lagi menjelang Mac 2025. 

 

Pelaburan dalam teknologi hijau itu menyerlahkan dedikasi Northport untuk mengurangkan jejak karbonnya dan menggalakkan operasi pelabuhan mesra alam.


 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menyifatkan, projek pembangunan Blok K adalah sebahagian daripada inisiatif Reinventing Northport dalam menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia.

 

"Ianya mengukuhkan dedikasi kami terhadap produktiviti yang tinggi dalam memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan menyesuaikan diri dengan permintaan dinamik industri perkapalan global," ujar beliau.

 

Pembinaan Blok K adalah antara komponen utama di dalam rancangan transformasi Reinventing Northport yang lebih luas untuk menangani beberapa isu dan cabaran utama yang telah diwarisi sekian lama, termasuk produktiviti yang rendah, jumlah kendalian yang menurun dan peralatan jentera yang lama. 

 

Dengan mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan terminal serta menaik taraf peralatan jentera, Northport bersedia untuk menambahbaik produktiviti dan kecekapan operasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan pertumbuhan yang mampan dalam industri yang sentiasa berkembang.


 
Sebelum Blok K siap dibina, Northport telah berjaya membangunkan sebuah lagi lapangan kontena baharu iaitu Blok J.

 

Kemudahan infrastruktur yang telah siap dibina pada 27 Mei 2023 tersebut telah memberi tambahan sebanyak 529,980 TEU kepada kapasiti keseluruhan lapangan kontena Northport dan telah menetapkan aras bagi projek Blok K yang lebih besar.

 

Usaha transformasi Northport telah pun membuahkan hasil yang membanggakan. 

 

Pada tahun 2024 sahaja, pelabuhan itu memecahkan rekod bulanan kendalian kontena tertinggi sebanyak tiga kali iaitu pada bulan Mei, Julai dan Ogos. 

 

Pada 20 Mei 2024, Northport telah menerima persinggahan kapal MV OOCL Japan, kapal kontena terbesar yang pernah berlabuh di fasilitinya, dengan kapasiti berjumlah 21,413 TEU.

 

Kapal itu yang dimiliki oleh Orient Overseas Container Line (OOCL) Limited, mencipta rekod baharu untuk Northport, mengatasi kapal terbesar yang pernah singgah sebelumnya iaitu Eugen Maersk, dengan kapasiti 11,000 TEUs pada 2013. - DagangNews.com