NTT Data rancang bina pusat data terbesar Asia Pasifik di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

NTT Data rancang bina pusat data terbesar Asia Pasifik di Johor Bahru

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Penyedia perkhidmatan IT global yang berpangkalan di Jepun, NTT Data merancang membina pusat data terbesar Asia Pasifik di Johor Bahru, Johor.

 

Kumpulan itu juga bercadang pengambilalihan tanah seluas 27.7 hektar di Gelang Patah, Johor Bahru untuk membina pusat data baharu dengan kapasiti 290 megawatt (MW) yang dirancang.

 

NTT Data berkata, tapak yang terletak di Gelang Patah itu akan menjadi antara pusat data terbesar di Asia Pasifik, yang terdiri daripada enam bangunan khusus dan kapasiti muatan IT yang besar.

 

Bangunan pertama dengan kapasiti awal 48MW dirancang untuk dilancarkan pada April 2027.

 

Projek pusat data itu akan menampilkan teknologi baharu seperti penyejukan cecair langsung untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan menyepadukan reka bentuk yang cekap tenaga dan mampan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Perkhidmatan Pusat Data NTT, Doug Adams berkata, Johor Bahru adalah zon ekonomi rentas sempadan yang semakin penting kerana berdekatan dengan Singapura.

 

"Dengan Asia Pasifik muncul sebagai antara pasaran yang paling pesat berkembang dan paling berpengaruh untuk pusat IT dan data, pemerolehan dan pembangunan tanah strategik kami di Malaysia menggariskan komitmen kami untuk mengembangkan lagi di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Pusat Data, Yasuo Suzuki berkata, pelan pengembangan di Gelang Patah meningkatkan infrastruktur digital syarikat di Malaysia, memacu pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik, mengukuhkan hubungan serantau, mewujudkan pekerjaan dan memupuk inovasi teknologi.

 

NTT Data mengendalikan enam kemudahan di Cyberjaya, dengan jumlah kapasiti beban IT sebanyak 20 MW.

 

Ia mengendalikan antara platform pusat data terbesar di dunia, dengan lebih 150 kemudahan merentasi lebih 20 negara. - DagangNews.com