KUALA LUMPUR 25 Okt - Kemungkinan kadar faedah pada separuh kedua 2025 akan meningkat memandangkan risiko inflasi yang tinggi, kata Ahli Ekonomi Kanan OCBC untuk ASEAN, Lavanya Venkateswaran.
"Kami meramalkan dasar monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0% bagi baki beberapa bulan 2024 dan 2025.
"Bagaimanapun, kami meramalkan BNM akan terus berhati-hati jika pusingan kedua inflasi berlaku dan tidak menolak kemungkinan kadar faedah mungkin akan naik pada separuh kedua 2025," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kadar inflasi Malaysia menunjukkan angka yang mengejutkan pada 2024, apabila inflasi utama dan teras mencatatkan purata 1.8% pada suku pertama hingga ketiga tahun ini.
Lavanya berkata, terdapat sedikit risiko penurunan pada unjuran inflasi OCBC sebanyak 1.9% tahun ini.
"Inflasi pada 2025 akan dipengaruhi dengan hasil fiskal," katanya.
Pada September, inflasi utama berada pada 1.8% tahun ke tahun (YoY), turun berbanding 1.9% pada Ogos, tahap inflasi yang berada di bawah jangkaan konsensus OCBC iaitu sebanyak 1.9%.
Inflasi teras juga berkurangan kepada 1.8% daripada 1.9% pada Ogos.
Bagi 2025, OCBC menjangkakan purata inflasi berada pada 2.1% YoY.
Lavanya berkata, terdapat beberapa dasar kawalan inflasi yang dijangka akan dilaksanakan, antaranya rancangan kenaikan harga bahan api RON95 mulai pertengahan 2025, kenaikan 13.3% dalam gaji minimum dari Februari 2025 dan juga kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 7% hingga 15% berkuat kuasa pada Disember 2024.
"Jika rasionalisasi RON95 dilaksanakan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, kami menjangkakan harga runcit boleh meningkat sebanyak 20% hingga 25% dari Julai 2025.
"Ini akan mendorong unjuran purata inflasi kami dinaikkan lebih tinggi kepada 2.6% sehingga 2.8% YoY pada 2025.
"Bagaimanapun, mekanisme pelaksanaannya masih tidak jelas, memandangkan penghapusan subsidi akan disasarkan kepada bahagian pengguna tertentu," katanya.
Kerajaan telah menjangkakan julat inflasi utama antara 2.0% sehingga 3.5%pada 2025 berbanding 1.5% sehingga 2.5% pada 2024. - DagangNews.com