MBSB perkasa belia Malaysia menguasai masa depan kewangan, elak terjerat masalah hutang | DagangNews Skip to main content

MBSB perkasa belia Malaysia menguasai masa depan kewangan, elak terjerat masalah hutang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Okt - MBSB mengambil pendekatan memperkasa golongan belia di negara ini dengan menganjurkan seminar ilmu celik kewangan susulan keadaan dihadapi kumpulan tersebut yang terjerat dengan pelbagai masalah antaranya pembiayaan peribadi, kad kredit dan Skim Beli Sekarang Bayar Kemudian.

 

Menyedari situasi tersebut, MBSB tampil dengan misi yang jelas iaitu menyediakan belia Malaysia dengan pengetahuan kewangan bagi membantu generasi akan datang mengelak daripada hutang dan membuat keputusan kewangan yang bijak bagi menjamin masa depan yang baik dan selamat. 

 

Sebagai sebahagian daripada fokus CSR bank di bawah agenda Pemerkasaan Ekonomi, usaha itu antara lain menampilkan kerjasama dengan Financial Faiz yang sering berkongsi ilmu kewangan mengenai topik seperti membeli rumah pertama, memahami skor CTOS dan mengapa perbankan syariah menawarkan pilihan yang lebih baik.

 

Banyak video Financial Faiz tentang kewangan mendapat sambutan penonton daripada pelbagai lapisan umur antaranya menerima lebih daripada 250,000 tontonan.


 
Forum literasi kewangan itu juga menghimpunkan pakar industri dan pelajar sarjana muda dari UITM dan MyPAC. 

 

mbsb

 

Imran Yassin, dari MIDF Research, menekankan peranan institusi dalam membina tabiat kewangan yang sihat, sementara Ketua Kumpulan Hubungan Pelabur di MBSB, Azharuddin Nordin, berkongsi hakikat yang sukar tentang tekanan daripada rakan sebaya dan bagaimana kesedaran diri adalah kunci untuk mengelakkan hutang. 

 

Ahli Lembaga Pengarah MBSB, Datuk Dr. Yasmin Mahmood, turut membawa perspektif baharu dalam perbincangan tersebut apabila menyatakan ilmu celik kewangan tidak boleh disesuaikan  untuk semua. 

 

"Wanita dan belia jelas sekali mempunyai perbezaan tersendiri. Mereka menghadapi cabaran yang unik.

 

"Bagaimanapun, fahaman dan ilmu kewangan adalah jalan menuju kebebasan tanpa dijerat masalah hutang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada majlis tersebut, Dr. Yasmin, menyerahkan cek bernilai RM350,000 kepada MyPAC sebagai biasiswa bagi menyokong bakal-bakal akauntan. 

 

Selain itu, bank berkenaan turut menyumbang RM130,000 kepada Program Digibiz Mastery UITM, yang merangkumi TikTok Mastery Bootcamp untuk 150 pelajar dan penubuhan MBSB-Innobiz Hub, kerana percaya bahawa usahawan hari ini perlu menguasai kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan penstriman langsung untuk berjaya. 

 

Di samping itu, MBSB juga melancarkan Program Youngpreneurship MIDF di bawah program BEST MBSB Bank, yang menyasarkan kanak-kanak sekolah rendah dari komuniti terpinggir, bertujuan memupuk semangat keusahawanan pada setiap peringkat kehidupan. - DagangNews.com