Median upah pekerja sektor formal naik 5.6% pada Jun 2024, mencerminkan prestasi ekonomi negara kukuh - DOSM | DagangNews Skip to main content

Median upah pekerja sektor formal naik 5.6% pada Jun 2024, mencerminkan prestasi ekonomi negara kukuh - DOSM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Median upah bulanan sektor formal meningkat sebanyak 5.6% pada Jun 2024 kepada RM2,745 berbanding Jun 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, peningkatan median upah bulanan menandakan momentum positif dalam pasaran buruh Malaysia pada 2Q24 mencerminkan prestasi ekonomi negara yang kukuh.

 

“Pada Jun 2024, bilangan pekerja formal Malaysia merekodkan sebanyak 6.73 juta orang meningkat sebanyak 2.0% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenayatan, hari ini. 

 

Mengulas tentang jantina dalam sektor tersebut, DOSM melaporkan pada Jun 2024, bilangan pekerja formal lelaki warganegara Malaysia mencecah 3.72 juta, menyumbang 55.3% dengan median upah bulanan sebanyak RM2,782. 

 

Dalam pada itu, pekerja formal perempuan menyumbang 44.7% iaitu bersamaan dengan 3.01 juta orang dengan median upah bulanan RM2,700.

 

 

DOSM

 

 

Katanya, berbanding Jun 2023, median upah bulanan bagi pekerja formal lelaki dan perempuan masing-masing menunjukkan trend peningkatan sebanyak 5.2% dan 6.8%. 

 

“Melihat kepada perincian statistik upah pekerja mengikut kumpulan umur menunjukkan semua kumpulan umur mencatatkan peningkatan yang stabil tahun ke tahun (YoY) kecuali kumpulan umur di bawah 20 tahun. 

 

“Pertumbuhan YoY direkodkan oleh kumpulan umur 65 tahun ke atas manakala mereka yang berumur di bawah 20 tahun kekal tidak berubah pada median upah bulanan RM1,500 sejak Jun 2022. Dalam tempoh tersebut, pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun menerima median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,627, manakala kumpulan umur bawah 20 tahun menerima upah terendah iaitu RM1,500,” katanya. 

 

Mohd Uzir berkata, sektor perlombongan & pengkuarian terus mencatatkan median upah tertinggi pada RM5,900 dengan meningkat sebanyak 13.5% berbanding Jun 2024 walaupun hanya menyumbang 0.6% daripada jumlah pekerja formal. 

 

Di samping itu, sektor pertanian yang merangkumi 1.9% daripada jumlah pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan terendah iaitu RM2,000, menunjukkan peningkatan 3.8% YoY pada Jun 2024.


 
"Tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional sebanyak RM2,745 pada Jun 2024 dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,982, diikuti oleh Selangor pada RM3,000 dan Pulau Pinang pada RM 2,800. 

 

"Walau bagaimanapun, Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah pada tempoh yang sama dengan masing-masing mencatatkan RM1,645, RM1,682 dan RM1,864.

 

"Mengenai taburan upah, beliau berkata, 32.2% daripada jumlah pekerja formal menerima upah bulanan di bawah RM2,000, mewakili sebanyak 2.4 mata peratus berbanding Jun 2024," katanya. - DagangNews.com