Nilai ringgit kukuh, tiada pemotongan OPR dan kerajaan siasat dakwaan lambakan produk China di pasaran Malaysia - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Nilai ringgit kukuh, tiada pemotongan OPR dan kerajaan siasat dakwaan lambakan produk China di pasaran Malaysia - Amir Hamzah

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR 25 Okt - Malaysia berada di landasan untuk pertumbuhan ekonomi lebih pantas, jurang fiskal lebih kecil dan harga yang stabil dengan pengukuhan nilai mata wang serta peningkatan pelaburan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

"Ringgit akan menemui paras terbaik sepadan dengan prospek pertumbuhan negara dan dibantu penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

 

“Malaysia akan kelihatan lebih menarik dan ringgit akan mengukuh di sepanjang perjalanan," katanya kepada Bloomberg dalam satu temu bual di Washington, semalam.

 

Mata wang Malaysia menunjukkan prestasi terbaik dalam pasaran baharu muncul tahun ini selepas mencatatkan suku terbaiknya dalam tempoh 50 tahun.

 

Pelabur tertarik dengan pertumbuhan ekonomi yang telah melepasi anggaran dan prospek kadar faedah utama akan kekal lebih lama daripada kebanyakan negara jirannya.

 

"Hanya kerana semua orang berdepan pemotongan kadar faedah, tidak bermakna kami juga perlu melakukan perkara sama. Ekonomi tidak memerlukan sebarang rangsangan ketika ini," kata Amir Hamzah selepas mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.

 

Beliau berkata, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha untuk menghidupkan "pelbagai enjin pertumbuhan" sambil menyampaikan komitmennya untuk mengurangkan defisit belanjawan di bawah 3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2028.

 

Memulihkan kesihatan fiskal adalah kunci bagi Malaysia untuk mengekalkan skor kredit tertinggi Asia Tenggara dan mengekalkan kepercayaan pelabur ketika Perdana Menteri berusaha membangunkan negara menjadi hab teknologi global.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan, melancarkan belanjawan tahunan ketiganya minggu lalu dengan rancangan perbelanjaan 2025 bergantung pada cukai yang lebih tinggi, mempercepatkan pertumbuhan dan subsidi yang lebih rendah untuk membantu mengurangkan defisit kepada 3.8% daripada KDNK pada tahun hadapan berbanding 4.3% pada tahun ini.

 

Amir Hamzah berkata, kerajaan merancang menamatkan subsidi untuk RON95 menjelang Mei 2025 sebagai langkah menjimatkan kira-kira RM8 bilion setahun. 

 

Beliau berkata, ia akan menjadi tambahan kepada RM6 bilion daripada anggaran penjimatan tahun ini selepas pemansuhan subsidi diesel bermula Jun 2024. 

 

Katanya, kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi membendung kenaikan inflasi daripada pemasuhan RON95.

 

Kerajaan sedang mempertimbangkan sistem harga dua peringkat supaya 15% terkaya negara membayar kadar pasaran manakala penduduk lain terus menikmati subsidi.

 

Kerajaan juga berhati-hati dalam mendepani reaksi orang ramai dan kesan terhadap inflasi. Malaysia menjangkakan kenaikan harga pengguna secara purata dalam julat 2% hingga 3.5% tahun depan berbanding unjuran 1.5% hingga 2.5% pada 2024.

 

Kestabilan baharu Malaysia bergantung pada sejauh mana kerajaan mengemudi reformasi fiskal dan ekonomi. Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri pada akhir 2022 dan kini beliau bersama kerajaan perpaduannya perlu menenangkan keseluruhan rakyat seandainya tidak mahu dihukum kerana kos sara hidup yang lebih tinggi. 

 

Gergasi teknologi termasuk Microsoft Corp, Nvidia Corp dan Amazon.com Inc telah berjanji untuk melabur berbilion dolar dalam infrastruktur negara kerana Anwar mempertaruhkan pendirian tidak sehaluan dan ekonomi berdaya tahan Malaysia untuk melindunginya daripada ketidaktentuan geopolitik dan pasaran.

 

Ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk memenuhi unjuran pertumbuhan tahunan yang disemak oleh kerajaan antara 4.8% dan 5.3% pada 2024.

 

Amir Hamzah berkata, kerajaan sedang menyiasat sama ada China telah melakukan lambakan beberapa produknya di pasaran Malaysia dan terbuka.

 

Belai berkata, sikap berkecuali Malaysia memberi manfaat dengan baik kerana ia menerima manfaat daripada penjajaran semula rantaian bekalan.

 

"Ia memberi kami peluang terbaik untuk mengatasinya," katanya mengenai ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan pertikaian perdagangan di peringkat global. - DagangNews.com