DKSH bekerjasama dengan Applecrumby edar produk bayi premium di Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH bekerjasama dengan Applecrumby edar produk bayi premium di Semenanjung Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 25 Okt -DKSH Business Unit Healthcare, mengumumkan kerjasama strategik dengan Applecrumby, sebuah jenama tempatan terkemuka yang mengkhusus dalam produk bayi semula jadi dan organik. 

 

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan akses kepada produk penjagaan kesihatan untuk keluarga di Malaysia dengan memperluaskan jangkauan produk Applecrumby di Semenanjung Malaysia.

 

Di bawah perjanjian tersebut, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran secara menyeluruh, termasuk jualan, pemasaran lapangan, pengedaran, logistik, serta kredit dan pengumpulan. 

 

Dengan memanfaatkan pengalaman luas DKSH, pengetahuan mendalam tentang pasaran dan tawaran perkhidmatan yang komprehensif, kerjasama terbabit bertujuan mendorong pertumbuhan perniagaan Applecrumby dan memastikan pengedaran produk bayi berkualiti tinggi, termasuk tisu, penjagaan kulit dan barangan pembersihan, secara efisien dan tepat pada masanya ke farmasi bebas dan rangkaian di seluruh kawasan tersebut.

 

Pengarah Perdagangan di Applecrumby, Kelvin Chung berkata, rekod prestasi terbukti DKSH dalam industri kesihatan, digabungkan dengan kepakaran mereka dalam jualan dan logistik, menjadikan mereka rakan kongsi ideal untuk syarikatnya. 

 

"Kami berharap dapat mengembangkan kehadiran kami di pasaran Semenanjung Malaysia dan menjangkau lebih ramai ibu bapa dengan produk kami yang selamat dan semula jadi, demi kesejahteraan anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden Healthcare DKSH Malaysia, Sandeep Tewari berkata, lampin bayi, tisu dan detergen adalah penting untuk mengekalkan kesihatan dan kebersihan bayi. 

 

"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Applecrumby, sebuah jenama yang dipercayai dan dikenali kerana komitmennya terhadap kualiti dan keselamatan, sebagai sebahagian daripada misi berterusan kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang boleh diakses oleh semua serta memperkayakan kehidupan bayi dan ibu bapa mereka," ujarnya. - DagangNews.com