Malaysia Aviation Group sertai Rangkaian Tindakan CEO dorong usaha pembangunan lestari | DagangNews Skip to main content

Malaysia Aviation Group sertai Rangkaian Tindakan CEO dorong usaha pembangunan lestari

Oleh Shamsiah Zulkafli

SEPANG 25 Okt - Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan penyertaannya sebagai anggota Rangkaian Tindakan CEO (CAN), sebuah gabungan lebih 70 pemimpin yang memberi tumpuan kepada sokongan kelestarian, pembangunan kapasiti, tindakan dan prestasi. 

 

Melalui kumpulan kerja yang khusus, aliran kerja dan anggota aktif yang mendorong inisiatif berkaitan, CAN berhasrat untuk menjadi pemangkin bagi anggotanya dalam membentuk model perniagaan dan ekosistem yang bersedia untuk masa depan yang berintegrasi dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Sebagai sebahagian daripada penglibatan berkenaan, MAG akan menyumbang secara aktif kepada aliran kerja Keadilan, Kesetaraan dan Inklusi (DEI). 

 

Inisiatif tersebut akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk rakan rantaian bekalan, pengawal selia dan pembuat dasar, kerajaan, serta rakan sejawat dari pelbagai sektor untuk membentuk kerjasama yang komited kepada amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan pembangunan lestari. 

 

Aliran kerja itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang prinsip dan kes perniagaan untuk DEI sambil mengukuhkan dasar dan intervensi strategik. 

 

Inisiatif terbabit selaras dengan komitmen MAG kepada inisiatif 25by2025 yang dipelopori oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor penerbangan.

 

MAG juga berikrar untuk mencapai tahap kematangan yang tinggi dalam tiga bidang utama iaitu Tadbir Urus, Alam Sekitar dan Manusia menjelang 2030. 

 

Kumpulan itu komited untuk mencapai penanda aras aspirasi di ketiga-tiga aspek tersebut, mengukuhkan dedikasi mereka kepada amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan lestari.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, pihaknya berbangga menyertai Rangkaian Tindakan CEO, yang memfokuskan kepada penubuhan komitmen kolektif untuk tindakan iklim dan tanggungjawab sosial. 

 

"Inisiatif ini seiring dengan cita-cita kelestarian kami, khususnya matlamat pengurangan karbon dan komitmen kami untuk mencipta impak sosio-ekonomi yang positif. 

 

"Penyertaan kami dalam aliran kerja DEI CAN melengkapi misi lebih luas kami untuk memberdayakan penglibatan wanita dalam tenaga kerja kami dan sektor penerbangan melalui inisiatif 25by2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, MAG gembira dapat mencapai kemajuan yang baik dalam aspek tersebut yang melebihi sasaran iaitu 35% penyertaan keseluruhan wanita dalam tenaga kerja syarikat setakat ini, dengan 50% dalam jawatan pengurusan atasan. 

 

"Dengan berkolaborasi bersama pemimpin dan organisasi lain, kami berhasrat untuk memperkuat usaha kami dalam mempromosikan kesamarataan jantina, meningkatkan kepelbagaian dan memastikan setiap individu diberi peluang untuk berkembang. Kami percaya bahawa kepelbagaian adalah kekuatan yang mendorong inovasi dan kecemerlangan," jelasnya. - DagangNews.com