Maybank IB naikkan unjuran inflasi 2025 kepada 3%-3.5% kesan cadangan pelarasan subsidi RON95 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB naikkan unjuran inflasi 2025 kepada 3%-3.5% kesan cadangan pelarasan subsidi RON95

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran inflasi 2025 kepada antara 3% hingga 3.5% berbanding 2.5% hingga 3% selepas pengumuman rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

 

Menerusi Belanjawan 2025, firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa pengumuman lain yang turut menyumbang kepada unjuran peningkatan itu termasuk peningkatan kos buruh termasuk kenaikan gaji minimum, levi pelbagai peringkat untuk pekerja asing dan caruman Kumpulan Wang Sinpanan Pekerja (KWSP).

 

"Bagaimanapun, dengan kadar inflasi sederhana setakat ini, kami menurunkan ramalan inflasi tahun penuh 2024 kepada 1.9% daripada 2.0% (2023: +2.5%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.6%) dan Filipina (1.9%). Manakala, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Republik Korea (1.6%), Thailand (0.6%) dan China (0.4%).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia pada September 2024 menurun kepada 1.8 peratus - DOSM

 

Peningkatan inflasi pada September 2024 telah didorong oleh peningkatan perlahan bagi kumpulan utama Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.1%).

 

Firma penyeldikan itu berkata, kesan inflasi daripada peluasan asas cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 6% hingga 8% berkuatkuasa 1 Mac 2024 kekal rendah mengikut inflasi perkhidmatan sebagai kadar cukai bagi makanan dan minuman (F&B) serta telekomunikasi.

 

Katanya, pengecualian untuk perkhidmatan logistik terpilih (conoh: penghantar kargo; pengangkutan, gudang, terminal pelabuhan dan konvensional operator trak) dan perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan harta kediaman.

 

Harga diesel bersubsidi kekal untuk Malaysia Timur dan kenderaan logistik serta industri perikanan yang layak.

 

"Bagaimanapun harga diesel tanpa subsidi telah menunjukkan aliran rendah sejak minggu bermula 8 Ogos 2024 berikutan aliran menurun dalam harga minyak mentah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dollar Amerika Syarikat (AS).

 

"Wajaran diesel yang rendah dalam indeks harga pengguna (CPI) dan perkhidmatan sebanyak 0.2% (berbanding 5.5% untuk petrol) bermakna kesan langsung rasionalisasi subsidi diesel yang disasarkan terhadap inflasi adalah kecil," katanya. - DagangNews.com