Pelabuhan Tanjung Pelepas naik taraf sistem operasi terminal, mampu kendali jumlah kontena lebih besar | DagangNews Skip to main content

Pelabuhan Tanjung Pelepas naik taraf sistem operasi terminal, mampu kendali jumlah kontena lebih besar

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Dis - Syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), berjaya menaik taraf sistem operasi terminal Navis N4 4.0, versi terbaharu daripada Kaleris, mencerminkan usaha berterusan PTP dalam meningkatkan prestasi dan kecekapan operasi di terminalnya.

 

PTP dan Kaleris menggunakan sistem Navis N4 sejak 2019 dan peralihan kepada sistem generasi keempat itu mengukuhkan kesediaan terminal PTP mengendalikan jumlah kontena lebih banyak masa hadapan dengan lebih lancar, sambil mengekalkan kecemerlangan operasi sedia ada. 

 

Proses naik taraf sistem tersebut juga merupakan peralihan sistem operasi terminal berskala besar bagi sistem N4 4.0 yang terbesar di dunia setakat ini.

 

Peralihan sistem berjaya dilaksanakan tanpa sebarang gangguan terhadap operasi pelanggan, serta menepati sasaran peningkatan produktiviti terminal. 

 

PTP turut mencatatkan kejayaan apabila proses itu mampu mengoperasikan sehingga 48 kren dermaga dalam satu syif kerja 12 jam sepanjang peralihan sistem tersebut. 

 

Penggunaan jentera tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah PTP.

 

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, naik taraf sistem berkenaan adalah langkah strategik dalam mengukuhkan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kontena terbesar di Malaysia dan meningkatkan kedudukannya dalam kalangan terminal kontena yang paling cekap dan sibuk di dunia.

 

"Kami amat bangga kerana peralihan sistem ini berjaya dilaksanakan mengikut jadual tanpa sebarang gangguan kepada operasi harian pelabuhan kami. Peralihan sistem ini melalui ujian tekanan dunia sebenar telah membuktikan keupayaan dan kesediaannya untuk menghadapi cabaran dan permintaan masa hadapan. 

 

"Ini adalah detik kebanggaan bagi PTP dalam mengukuhkan komitmen kami terhadap usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman, turut memuji pencapaian tersebut, hasil perancangan dan kerjasama teliti selama berbulan-bulan bersama penyedia perkhidmatan, Kaleris dan pemegang saham, APM Terminals, yang memastikan peralihan lancar dan selamat.

 

"Naik taraf sistem operasi terminal dengan saiz dan skala sebegini adalah satu pencapaian luar biasa. 

 

"Peralihan sistem yang hanya mengambil masa dua setengah jam, dengan membolehkan penggunaan sehingga 38 kren dermaga dalam masa lima jam, tanpa gangguan kritikal, mencerminkan pengurusan perubahan yang luar biasa dan kebolehan adaptasi terhadap proses baru serta integrasi teknologi canggih yang berkesan," katanya.

 

Hardiman berkata, PTP sentiasa mengutamakan agenda pembangunan dan pemerkasaan sumber manusia, teknologi dan proses, dengan keselamatan serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sebagai nilai teras syarikat. 

 

"Fokus strategik kami terhadap inovasi, perubahan digital dan pertumbuhan mampan memastikan kami mampu mewujudkan persekitaran yang optimum untuk keselamatan dan kepuasan pelanggan dengan memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya melalui kecekapan terminal yang dipertingkatkan dan kapasiti yang diperluaskan," tambahnya.

 

Proses peralihan sistem N4 4.0 itu diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi PTP, Joe Schofield.

 

Sistem operasi terminal baharu tersebut mampu menyokong infrastruktur terminal PTP yang luas, yang terdiri daripada 58 kren dermaga, 199 kren Rubber Tyred Gantry (RTG), 572 lori terminal pelabuhan dan 743 treler. 

 

Terminal PTP merangkumi dermaga sepanjang 5.1 kilometer yang mampu mengendalikan kapasiti lebih daripada 1 juta TEU sebulan. 

 

Ciri utama N4 4.0 seperti pemesejan Kafka dan konfigurasi perisian yang dipertingkatkan, telah meningkatkan kelajuan sistem dengan ketara, masa beroperasi dan kestabilan pelanggan sistem prestasi melampau (XPS). 

 

Sistem berkenaan turut meningkatkan modul Pengoptimuman Trak Terminal (TTO) yang dibangunkan bersama PTP dan Kaleris, memberikan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan pantas.

 

PTP diiktiraf sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia menurut Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2023 yang diterbitkan oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence. 

 

PTP kini berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan kontena teratas dunia dari segi kendalian, menurut laporan yang diterbitkan oleh Lloyd’s List. - DagangNews.com