KUALA LUMPUR 14 Okt - Hiap Teck Venture Bhd dijangka menghadapi cabaran pendapatan berterusan dalam tempoh terdekat berikutan harga keluli yang lemah dan kos input keluli yang tinggi, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, prestasi lemah yang dijangkakan dalam suku pertama Hiap Teck akan datang berakhir 31 Oktober 2024 (1QFY25) adalah berdasarkan penurunan dalam harga keluli pada Ogos 2024 dan September 2024.
Walaupun permintaan kukuh dilihat untuk produk keluli, didorong peningkatan aktiviti pembinaan namun purata harga jualan (ASP) yang rendah akan terus memberi kesan kepada keuntungannya.
"Kami menurunkan unjuran keuntungan bersih teras FY25-FY27 kami sebanyak -22.9%/-20.9%/-20.8%, selepas mengambil kira andaian margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBITDA) yang lebih rendah untuk dagangan dan segmen hiliran, serta ASP yang lebih rendah andaian untuk ESSB (27.3% milik syarikat bersekutu Eastern Steel Sdn Bhd),” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga menangguhkan pentauliahan kilang gegelung panas (HRC) dari November ke Disember 2024 memandangkan sentiment harga yang lemah, kata HLIB walaupun kemajuan pembinaan berada di landasan tepat.
HLIB menyemak turun harga sasarannya kepada 42 sen daripada 55 sen walaupun mengekalkan saranan "beli" didorong kecekapan kos dalam ESSB berikutan pembinaan kemudahan tambahan.
Katanya, penyiapan kilang HRC akan meningkatkan kapasiti serta tawaran produk untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Pada 4QFY24, keuntungan bersih teras Hiap Teck menjunam 85% kepada RM9.5 juta disebabkan oleh tekanan margin.
Prestasi ESSB juga terjejas, dengan sumbangannya menjunam daripada RM41.3 juta kepada RM7.5 juta pada suku tersebut, didorong oleh harga keluli yang lebih rendah dan kelewatan dalam penghantaran. - DagangNews.com