KUALA LUMPUR 11 Okt - Pendapatan Sam Engineering & Equipment (M) Bhd pada suku akan datang dijangka meningkat selepas isu aeroangkasanya selesai, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras pengeluar peralatan pengeluaran dan produk aeroangkasa bagi suku pertama tahun kewangannya 2025 (1QFY25) susut 43% kepada RM9.9 juta disebabkan pemberhentian sementara dalam penghantaran berikutan perubahan reka bentuk produk bersama-sama dengan kekurangan bahan serta kecacatan kualiti yang ditemui dalam bahan daripada pembekal.
"Semakan industri kami menunjukkan isu-isu itu hanyalah sementara dan operasi akan kembali normal dalam satu hingga dua suku akan datang," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, prospek pertumbuhan aeroangkasa global adalah utuh dengan kedua-dua Airbus dan Boeing mempunyai rancangan untuk meningkatkan pengeluaran bulanan bermula 2026 hingga 2027.
“Forecast International (firma penyelidik pasaran yang berpangkalan di AS) menganggarkan kadar pengeluaran bulanan Julai 2024 untuk A320neo pada 52 di belakang paras 60 pada 2019. Airbus merancang meningkatkan kadar pengeluaran model ini kepada 75 menjelang 2027.
"Boeing merancang untuk meningkatkan pengeluaran 737Max dan 787 kepada 50 dan 10 unit setiap satu menjelang 2026 (daripada kurang daripada 38 dan empat unit pada masa ini), yang masih berada di belakang paras 52 dan 12 pada 2019,” katanya.
Katanya, gangguan atau kekurangan rantaian bekalan merupakan punca utama, terutamanya kekurangan enjin, gear pendaratan, tempat duduk dan tandas, serta Pentadbiran Penerbangan Persekutuan yang menyekat B737Max disebabkan isu palam pintu serta pemasangan pengikat yang tidak betul pada B787.
Pendapatan kumpulan itu dijangka bertambah baik secara beransur-ansur dari 2QFY25 apabila isu-isu di segmen aeroangkasanya diselesaikan.
Maybank IB menyemak turun anggaran pendapatan sesaham FY25 untuk syarikat itu sebanyak 19% untuk mengambil kira hasil dan margin aeroangkasa yang lebih rendah selepas terjejas oleh kekurangan bahan mentah dan kecacatan kualiti bahan daripada pembekal.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan cukai efektif kumpulan yang lebih tinggi.
"Kami telah menurunkan anggaran pendapatan aeroangkasa FY25 sebanyak 3% dan margin sebelum cukai aeroangkasa sebanyak 0.7 mata peratusan kepada 0.3%," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan sasaran (TP) RM5.71 sesaham. - DagangNews.com