KUALA LUMPUR 30 Okt - Kenaikan gaji minimum dan cadangan untuk mewajibkan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing mungkin akan mempengaruhi pendapatan Unisem (M) Bhd.
CIMB Securities menganggarkan, ia boleh mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) Unisem sebanyak 3% hingga 4%.
Firma tersebut juga mengunjurkan EPS Unisem bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-FY26) dengan penurunan masing-masing sebanyak 12% dan 16%.
"Ini berikutan panduan jualan yang lebih lemah daripada yang dijangkakan untuk suku keempat 2024 (4Q24) dan impak pertukaran asing," katanya dalam satu kenyataan.
Keuntungan bersih syarikat meningkat 48% dalam suku ketiga 2024 (3Q24), manakala pendapatan meningkat sebanyak 15%.
CIMB Securities mengekalkan penarafan 'pegang' pada saham tersebut dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu RM3.25 daripada RM3.98.
Firma tersebut menyatakan ia berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) yang lebih rendah iaitu 30 kali bagi tahun kalendar 2026 (CY26), yang merupakan 1 deviasi piawai di bawah purata industri pengujian dan pemasangan semikonduktor di Malaysia.
"Penyesuaian ini, yang sebelum ini berada pada 0.5 deviasi piawai di atas purata, adalah disebabkan oleh sentimen sektor teknologi yang lebih lemah," tambahnya.
Menurut CIMB Securities, pemangkin berpotensi untuk saham itu termasuk kadar pengambilan pelanggan yang lebih tinggi, tempoh pembangunan yang lebih singkat di fasiliti Unisem Chengdu Fasa 3 dan Gopeng, pengambilan pelanggan baharu akibat perubahan rantaian bekalan global dan peningkatan dividen.- DagangNews.com