KUALA LUMPUR 22 Jan - Pengambilalihan tanah terbaharu Mah Sing Group Bhd seluas 1.13 hektar pada harga RM32 juta bakal mengukuhkan kehadiran di Lembah Klang terutamanya di Sentul, kata MIDF Research.
Katanya, ia yang akan digunakan bagi pembinaan projek apartmen servis, M Aria dan ia merupakan projek ketiga kumpulan itu selepas M Centure dan M Arisa.
Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua projek terdahulu itu berjaya dijual sepenuhnya dan projek ketiga ini dijangka terus memberi sumbangan positif kepada kumpulan.
"M Aria yang merupakan projek siri M Mah Sing dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM283 juta, dirancang untuk pangsapuri dengan harga jualan berpatutan bermula dari RM498,000.
"Pendaftaran minat dijangka pada separuh kedua 2025, selaras dengan strategi pemulihan pantasnya. Selain itu, nisbah kos tanah kepada GDV adalah pada 11%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing beli tanah pegangan bebas 1.13 hektar di Sentul, bina M Aria dengan GDV RM283 juta
MIDF Research berkata, Mah Sing berhasrat membiayai pengambilan tanah itu melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
Firma penyelidikan itu, menganggarkan kesan terhad pada kunci kira-kira kerana penggearan bersih dijangka meningkat sedikit kepada 0.23x daripada 0.22x pada 3QFY24.
"Kami kekal positif terhadap Mah Sing kerana pengambilalihan bank tanahnya yang aktif akan memacu pertumbuhan jualan baharu pada masa hadapan.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.09 sesaham," katanya. - DagangNews.com