KUALA LUMPUR 3 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan penganugerahan kontrak pembinaan pada 2024 berpotensi melebihi RM50 billion, rekod tertinggi sejak 2016.
Katanya, penjanaan semula projek pembangunan di pusat data dan Johor masih mempunyai ruang untuk dimainkan walaupun berlaku kelembapan dalam kontrak pusat data pada suku kedua 2024.
"Kebanyakan pelabur lebih tertumpu kepada ledakan pusat data dan ia seharusnya memacu penarafan semula dalam sektor itu dan penilaian semasa menyediakan lebih ruang untuk peningkatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Gamuda Bhd dan Sunway Bhd muncul sebagai pilihan utama HLIB kerana kedua-dua syarikat mempunyai keterlihatan perancangan yang kukuh dan berada dalam fasa kitaran menaik.
Malaysia menyaksikan RM11.2 bilion dalam anugerah kontrak domestik pada suku ketiga 2024, menjadikan nilai sembilan bulan tahun ini kepada RM31.9 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, daripada jumlah ini, 42% dikaitkan dengan projek awam.
HLIB berkata, lebih banyak projek awam boleh dilaksanakan pada suku keempat tahun ini, mengambil petunjuk daripada anugerah suku ketiga 2024 seperti pakej kerja daripada projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah 1B.
Katanya, kontrak berpotensi lain termasuk projek hidro Sabah, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan projek Sabah Sarawak Link Road Fasa 2.
Di Semenajung Malaysia, anugerah itu berkemungkinan tertumpu kepada LRT Pulau Pinang, kerja lapangan terbang Pulau Pinang, projek infrastruktur sektor air dan kerja pusat data.
Sementara itu, perkembangan LRT Johor dan HSR KL-Singapura juga boleh meningkatkan sentimen dalam sektor pembinaan.
"Kami melihat sistem RTS Link JB-Singapura dan usaha untuk menghidupkan semula Johor memerlukan infrastruktur penyambungan kapasiti tinggi untuk kawasan Johor Bahru yang lebih besar,” katanya.- DagangNews.com