Pengarah Hup Seng, Lim Poh Seong sertai lembaga Yinson sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif | DagangNews Skip to main content

Pengarah Hup Seng, Lim Poh Seong sertai lembaga Yinson sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

Lim Poh Seong
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Okt - Yinson Holdings Bhd mengumumkan pelantikan Lim Poh Seong sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta merta.

 

Beliau yang berusia 57 tahun, kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif untuk pembuat biskut Hup Seng Industries Bhd, pemain tenaga boleh diperbaharui, Samaiden Group Bhd dan pemborong serta pengedar sayur, Farm Price Holdings Bhd. 

 

Yinson menyatakan, Poh Seong mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang audit, perakaunan, kewangan korporat dan pentadbiran keseluruhan operasi perniagaan.

 

Beliau adalah ahli persatuan Akauntan Bertauliah dan anggota Institut Akauntan Malaysia.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng berkata, pengalaman luas Poh Seong dalam pelbagai jenis perniagaan serta di lembaga syarikat tersenarai Malaysia sebagai pengarah bebas, akan memberikan nilai signifikan kepada syarikat.

 

"Pelantikannya dibuat ketika syarikat terus membina kerjasama strategik yang akan memacu pertumbuhan dan membuka nilai lebih besar untuk pemegang kepentingan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Saham Yinson ditutup merosot tiga sen atau 1.10% kepada RM2.70 pada Selasa, meletakkan nilai syarikat infrastruktur dan teknologi tenaga itu pada RM8.08 bilion. - DagangNews.com