Pengenalan pelbagai inisiatif utama bukti komitmen jelas kerajaan sokong pertumbuhan usahawan Bumiputera, PKS - PENGILANG | DagangNews Skip to main content

Pengenalan pelbagai inisiatif utama bukti komitmen jelas kerajaan sokong pertumbuhan usahawan Bumiputera, PKS - PENGILANG

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Okt - Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) menyambut baik Belanjawan 2025 susulan pengenalan pelbagai inisiatif utama yang menunjukkan komitmen jelas kerajaan dalam menyokong pertumbuhan usahawan tempatan, khususnya usahawan Bumiputera dan sektor kecil serta sederhana (PKS). 

 

Presiden PENGILANG, Datuk Azman Yusoff berkata, inisiatif seperti Geran Padanan Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) & Penjaja (RM50 juta), Dana Pinjaman PKS oleh Bank Negara Malaysia (RM3.8 bilion) serta Pembiayaan Usahawan Bumiputera oleh MARA & PUNB (RM800 juta) akan membantu memperkasakan keupayaan perniagaan untuk berkembang dalam era digital dan global yang semakin mencabar.

 

Jelas beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion di bawah Program Syarikat Mid-Tier oleh Khazanah, satu langkah penting untuk membantu syarikat-syarikat peringkat pertengahan dalam membina daya saing dan kapasiti mereka untuk bersaing di peringkat global. 

 

"Geran Bayaran Balik oleh MATRADE (RM40 juta) bagi pengeksport tempatan juga sangat dihargai, memandangkan sokongan ini dapat memperluaskan peluang pasaran di luar negara, terutamanya di pasaran baharu seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Tambah beliau, kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 adalah langkah  positif untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja, yang akan membantu meningkatkan kualiti hidup mereka. 

 

"Bagaimanapun kenaikan gaji ini akan memberikan cabaran kepada usahawan, terutamanya PKS yang bergantung kepada tenaga kerja yang ramai. 

 

"Kenaikan kos operasi akan menjadi beban kepada sesetengah perniagaan, namun ia juga boleh merangsang produktiviti dan motivasi pekerja, yang seterusnya membantu memperbaiki kualiti perkhidmatan dan pengeluaran," ujarnya.

 

Azman berkata, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan melalui insentif dan bantuan pembiayaan, usahawan perlu menyesuaikan diri melalui peningkatan produktiviti dan automasi.

 

Beliau dalam masa sama berkata, subsidi minyak petrol RON95 bersasar yang akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan akan membawa kesan kepada kos operasi perniagaan, terutamanya yang terlibat dalam sektor pengangkutan, logistik dan penghantaran. 

 

Katanya, PENGILANG memahami keperluan kerajaan untuk menstrukturkan semula subsidi bagi memastikan ia sampai kepada golongan yang memerlukan, namun ia akan meningkatkan kos bahan bakar, yang akhirnya mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.

 

"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan mekanisme yang lebih menyeluruh dalam melindungi perniagaan daripada kesan kenaikan kos ini, seperti menawarkan rebat tenaga, program insentif untuk kenderaan cekap tenaga, atau sokongan logistik bagi perniagaan yang terjejas. 

 

"Langkah ini penting bagi memastikan kesan peningkatan kos tidak terlalu membebankan, terutamanya kepada usahawan kecil dan sederhana," katanya.

 

Jelas beliau, secara keseluruhan, PENGILANG menyambut baik Belanjawan 2025 dan percaya bahawa inisiatif-inisiatif terbabit akan memberikan manfaat besar kepada usahawan tempatan.

 

Ujarnya, dengan gabungan langkah-langkah seperti peningkatan gaji minimum dan penyelarasan subsidi yang dibuat secara seimbang, pihaknya yakin sektor keusahawanan di Malaysia akan terus berkembang dengan mapan dan berdaya saing dalam ekonomi yang kian mencabar. - DagangNews.com