KUALA LUMPUR 17 Jan - Mewakili Melayu Islam berumur 46 hingga 60 tahun, Gen X mentakrifkan semula peranannya dengan menggabungkan tradisi dengan teknologi dan membentuk semula penglibatan masyarakat, kata syarikat pemasaran, VML Malaysia.
Dalam laporan yang dikeluarkan baru-baru ini bertajuk "The Rising Voices of the Malay Muslims", VML mendapati, Gen X secara aktif memacu dinamik sosial moden dan mewujudkan rasa kekitaan melalui kedua-dua sambungan digital dan fizikal.
VML meninjau sebanyak 400 orang Melayu Islam berumur 18 tahun ke atas, mewakili demografi yang luas di mana 55% tinggal di kawasan bandar, 21% di pinggir bandar dan 24% di kawasan luar bandar.
Menerusi laporan itu, syarikat pemasaran tersebut mendapati Gen X mementingkan hubungan dan mengukuhkan ikatan komuniti.
"Bagi jenama, ini menawarkan peluang tersendiri untuk melibatkan diri dengan generasi proaktif yang mementingkan keaslian dan kesinambungan budaya, terutamanya ketika mereka mengemudi keseimbangan antara tradisi dan kehidupan moden.
"Di samping itu pengguna Generasi Millennials (28-45 tahun) mengutamakan tujuan, pertumbuhan peribadi dan hubungan yang bermakna.
"Dengan 83% meletakkan nilai yang lebih besar pada pengalaman gaya hidup seperti melancong dan hobi berbanding generasi yang lebih tua, syarikat berpeluang mencipta naratif seperti gaya hidup dan keperluan keperibadian.
"Platform kesihatan yang mempromosikan gaya hidup sihat, boleh membantu memenuhi keinginan pengguna Melayu Islam generasi ini," katanya dalam laporan tersebut.
Dalam pada itu, laporan itu mendapati Gen Z (18-27 tahun) Melayu Islam sedang membentuk naratif baharu dengan mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dalam perhubungan mereka.
"Gen Z sedang giat mengembangkan rangkaian sokongan mereka, memupuk semangat kekitaan yang lebih kukuh dengan mengutamakan keluarga, rakan dan masa peribadi.
"Bagi menarik pengguna Gen Z, syarikat dicadangkan untuk mengintegrasikan kaedah penceritaan yang mencerminkan perjalanan pertumbuhan kehidupan sebenar, perkhidmatan diperibadikan yang memenuhi keperluan individu," katanya.
Berdasarkan keputusan tinjauan laporan, Ketua Pegawai Eksekutif VML, Kenni Loh menggariskan peluang segera bagi syarikat untuk berhubung dan menangani keperluan mereka yang semakin berkembang.
Beliau berkata, nilai teras seperti keimanan, kekeluargaan dan kesihatan membentuk pengguna Melayu Islam di Malaysia merentasi tiga generasi itu.
"Walaupun komuniti pengguna Melayu Islam berjaya mengintegrasikan aspek rohani dan kemodenan, 66% peserta yang ditinjau berpendapat jenama tempatan tidak mengiktiraf dan mewakili nilai mereka dengan secukupnya.
"Memandangkan Malaysia menduduki tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023/2024, tidak ada masa yang lebih baik untuk syarikat berusaha memenuhi keperluan pengguna Melayu Islam dan mencipta impak yang mampan," katanya. - DagangNews.com